suria

'Lelaki 10 Sen' Buka Perpustakaan 10 Sen

Kuan Chee Heng bergambar bersama kanak-kanak yang gemar berkunjung ke Perpustakaan 10 Sen miliknya. - Facebook Kuan Chee Heng

PETALING JAYA: Kuan Chee Heng sering digelar “lelaki 10 sen” tetapi gelaran itu membawa maksud yang mendalam kepada masyarakat yang telah menerima bantuannya.

Pengasas organisasi Community Policing Malaysia (COPs) dan pasukannya telah menyediakan bantuan seperti pasar lambak, khidmat ambulans, dan teksi dengan pembayaran 10 sen untuk meringankan masalah kewangan bagi yang memerlukan.

Kuan berkata nilai 10 sen yang dikenakan kepada pelanggan meringankan beban disamping tidak memijak maruah mereka.

“Mereka tidak perlu berasa malu kerana mendapatkan barang dengan harga 10 sen."

“Mereka tidak mendapatkannya secara percuma kerana mereka membeli barang tersebut walaupun dengan harga yang murah,” katanya.

Kuan, 54, yang dipanggil ‘Hero Malaya’ oleh penduduk tempatan, mula dikenali selepas dia membantu pihak polis mengenal pasti dan memberkas pembunuh kepada Ng Yuk Tim, 15, pada Oktober 2013.

Aktivis jenayah itu berulang kali menyoal suspek Poon Wai Hong, yang ketika itu berumur 23, selepas dia menyedari luka yang terdapat di tapak tangan kiri suspek yang mencurigakan semasa mereka berdua sedang mencari mangsa yang hilang sehari sebelum itu.

Suspek kemudiannya mengakui telah membunuh remaja tersebut dan akhirnya diserahkan kepada pihak polis.

Kuan yang memulakan harinya seawal pukul 5.30 pagi sudah biasa mengendalikan sepuluh kes dalam satu hari.

Dalam usahanya baru-baru ini, Kuan dan pasukan sukarelawannya telah berjaya membina sebuah ‘perpustakaan 10-sen’ yang menyediakan tempat yang selamat untuk kanak-kanak yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Jalil untuk belajar dan membaca.

Kanak-kanak yang berasal daripada keluarga yang tidak berkemampuan kebiasaannya tidak mempunyai ruang yang khas untuk belajar di rumah.

Kuan memaklumkan, terdapat kes-kes tertentu yang kanak-kanak dipaksa untuk belajar di tangga kerana tiada ruang di dalam rumah mereka untuk berbuat demikian.

Keadaan tersebut boleh mengundang bahaya, katanya.

“Perpustakaan itu sangat selesa dan dilengkapi dengan pendingin hawa serta disediakan minuman. Mereka boleh belajar dan meminjam buku hanya dengan kadar 10 sen.

 “Para pustakawan juga bertindak sebagai kaunselor yang memberi khidmat nasihat kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah.

“Pustakawan kemudian akan melaporkan kepada saya tentang masalah yang dihadapi oleh mereka termasuk kes penderaan,” katanya.

Kuan telah memperoleh dua buah rumah dua tingkat yang salah satunya akan disewakan kepada masyarakat yang ingin melawat ahli keluarga mereka yang dirawat di hospital pada kadar serendah RM1 satu malam.

Sebuah lagi rumah akan diubah menjadi tempat tinggal sementara untuk para isteri yang teraniaya.

Kuan, yang berasal daripada keluarga yang miskin sering dibuli kerana situasinya itu.

“Dahulu, keluarga saya sangat miskin. Oleh itu, saya tahu perasaan mereka yang berada di situasi yang sama. Sekarang, saya mempunyai peluang dan sumber pendapatan yang dapat menolong masyarakat.

“Saya akan berusaha menolong mereka selagi mampu, apa salahnya? Ia tidak menjejaskan perniagaan saya,” Kuan memberitahu The Star.

Kuan pernah berkhidmat sebagai polis pada tahun 1986 hingga 1991 sebelum berhenti dan menjadi penjual bunga selama 18 tahun.

Dia mengasaskan COPs pada 2007 dan persatuan itu kini mempunyai ahli seramai 130,000 di seluruh negara.

“Aktiviti kemanusiaan ini tidak mengira politik, agama dan warna kulit. Apa yang penting, kami bersama-sama mencari penyelesaian kepada masalah yang timbul.”

“Kami bekerjasama untuk menyelesaikan segalanya tanpa meminggirkan sesiapa,” kata Kuan.

Kuan Chee Heng

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain