suria

"Mula-Mula Suami Marah, Tapi Lepas Dah 'Masyuk'..."

PETALING JAYA: Bukan semua isteri akan dapat 'lampu hijau' apabila hasrat mahu serius menjalankan bisnes dalam talian disampaikan kepada suami.

Mungkin si suami akan memberikan pelbagai alasan atau setidak-tidaknya 'buat muka' apabila si isteri bersuara tentang rancangannya itu yang entah berjaya, entahkan tidak.

Perkara sama dialami oleh seorang akauantan bertauliah, Noor Hamiza Abd Rahman, 36, yang terpaksa berdepan dengan suaminya, Zolkifli Awg Ali, 36,
yang kurang faham dengan minatnya dalam bidang perniagaan, apatah lagi perniagaan 'online'.

Ibu kepada dua anak, masing-masing berusia lapan dan empat tahun ini berkata, memandangkan beliau mempunyai karier yang kukuh, suaminya melihat tiada sebab untuk dirinya mencari pendapatan tambahan.

"Bukan sebab keperluan nak duit lebih, tapi sebab minat.

"Saya bermula dengan buat dropship, kemudian jadi stokis, masa tu memang kena marahlah dengan suami sebab pegang stok...dia takut rugi," katanya yang mengasaskan jenama fesyen muslimah moden, Dressy Donna.

Menurut Noor Hamiza, selain 'kabur' tentang perniagaan dalam talian suatu ketika dulu, suaminya yang bertugas sebagai eksekutif kanan di sebuah syarikat swasta juga bimbang tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu akan terabai.

Katanya, bukan dirinya seorang sahaja yang berdepan konflik ini tetapi ia menjadi satu konflik biasa buat wanita yang mahu berjinak-jinak dalam perniagaan online.

"Saya buktikan kepada suami walaupun saya bekerja dan buat bisnes tapi saya tak korbankan masa dengan keluarga.

"Bila saya balik rumah,  saya selesaikan semua urusan rumah dan anak-anak, tidur sekali dengan mereka, kemudian saya bangun tengah malam buat bisnes saya," katanya.

Beliau mengakui latar belakang perakaunan dan pengalaman menjadi stokis dan dropship selama lebih kurang lima tahun banyak membantu dalam kejayaannya hari ini.

Noor Hamiza berkata, perselisihan faham dengan suami dalam tempoh ini juga adalah biasa dan beliau menasihatkan wanita lain supaya menanganinya dengan bijak.

"Dia (suami) tak bagi saya keluar rumah, tapi dia tak nampak apa saya buat dengan bisnes saya. Yang dia nampak saya pegang 'handphone', main Facebook.

"Tapi bila saya dah mula bawa keluarga pergi bercuti, pasang wallpaper satu rumah, barulah dia nampak semua dan perlahan-lahan bagi sokongan," katanya.

Peniaga 'online' berasal dari Alor Setar, Kedah ini berkata, beliau mengasaskan jenamanya pada 2015 dan produk pertamanya dilancarkan setahun selepas itu.

Setakat ini, beliau sudah memasarkan baju kurung moden, tudung dan blaus yang mendapat sambutan hangat terutama daripada wanita berhijab dan berkerjaya.

Menganggap pasaran dalam talian sebagai 'tepu', itu bukanlah alasan untuk beliau 'tutup kedai'. Sebaliknya beliau tetap percaya dengan kemampuan produk-produk keluarannya untuk bersaing dengan pengeluar lain.

"Saya tak nafikan ia dah tepu. Produk kosmetik, kecantikan, kesihatan, fesyen dah ramai yang buat, dah makin tepu.

"Tapi akhirnya saya perlu faham nilai yang mahu diberikan semula kepada masyarakat, itulah prinsip saya.

"Sebab apa yang saya reka adalah eksklusif, tidak sama dan tak ada di pasaran luar," katanya yang produknya telah menembusi pasaran Amerika Syarikat.

Artikel Sebelum

PRU14 Tahun Depan?

Artikel Berikut

Artikel Lain