suria

FGV Gantung Tugas CEO, CFO

Zakaria Arshad.

PETALING JAYA: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Datuk Zakaria Arshad dan Ketua Pegawai Kewangan kumpulannya, Ahmad Tifli Mohd Talha digantung tugas berkuat kuasa serta-merta.

Bercakap kepada The Star, Zakaria berkata, beliau menerima surat yang ditandatangani Pengerusi, Tan Sri Isa Samad yang memaklumkan supaya beliau diarahkan bercuti dari semua tugasnya di FGV dan anak syarikat, berkuat kuasa serta-merta.

FGV pada Selasa memberitahu, kedua-dua mereka diberikan cuti bermula Selasa sementara menunggu siasatan berhubung tawaran tertentu membabitkan anak syarikatnya, Delima Oil Products Sdn Bhd.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada Bursa Malaysia, FGV akan meneruskan perniagaannya seperti biasa.

Sementara itu, satu lembaga jawatankuasa eksekutif yang terdiri daripada dua pengarah FGV, Datuk Dr Omar Salim dan Datuk Mohd Zafer Mohd Hashim, bersama dengan Ketua Kelompok Logistik, Azman Ahmad akan mengambil alih tanggungjawab membabitkan jawatan presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan.

Lembaga melantik Pengawal Selia Kewangan Kumpulan (Sektor Perladangan), Aznur Kama Azmir sebagai ketua pegawai kewangan sementara.  

"Pengumuman lanjut akan dibuat sekiranya terdapat perkembangan berkaitan," katanya.

Beliau dilantik memegang jawatan itu di FGV, salah sebuah syarikat minyak sawit terbesar di dunia, berkuat kuasa 1 April 2016.

Zakaria sebelum ini merupakan ketua/naib presiden kelompok hiliran sawit FGV sejak 2016.

Beliau kemudiannya mengambil alih jawatan Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah yang menamatkan kontrak pada 31 Mac 2016.


FGV, Zakaria Arshad

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain