suria

Peniaga Bazar Ramadan Wajib Pamer Tanda Harga

Basaruddin (tengah) mengedarkan risalah kepada pengunjung, Abdul Halim Abdullah sempena pelancaran kempen 'Jangan Lebih Lebih' peringkat negeri anjuran KPDNKK negeri di Tapak Bazar Ramadan, Stadium Malawati, pada Khamis. fotoBERNAMA

SHAH ALAM: Para peniaga yang menjalankan perniagaan di tapak bazar Ramadan di seluruh Selangor diwajib mempamerkan tanda harga bagi setiap barangan yang dijual.

Ketua Seksyen Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri Basarudin Mohiyudin berkata, tidak ada pengecualian diberikan kepada golongan peniaga walaupun kebanyakannya hanya menjalankan aktiviti itu pada bulan Ramadan.

Beliau berkata peraturan mempamerkan tanda harga itu melibatkan semua peniaga termasuk yang menjual kuih-muih, lauk-pauk dan barang makanan lain seperti ikan dan ayam.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Kempen ''#janganlebihlebih'' peringkat negeri di bazar Ramadan Seksyen 13 di sini Khamis, Basarudin berkata peniaga yang masih berdegil akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang boleh dikenakan denda sehingga RM100,000.

"Bermula 27 Mei lepas sehingga hari ini, KPDNKK telah melakukan pemeriksaan ke atas 1,831 gerai bazar di 50 lokasi di negeri ini termasuk sekitar Shah Alam, Gombak, Petaling Jaya dan Kuala Selangor dengan 30 peniaga diberi amaran kerana kegagalan mempamerkan tanda harga," katanya.

Beliau berkata pihaknya telah mengedarkan risalah kepada peniaga bazar supaya mematuhi arahan yang digariskan KPDNKK mengikut Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan 2017 berhubung kempen #janganlebihlebih itu.

Katanya, kempen yang diadakan sempena bulan Ramadan itu juga bertujuan menyedarkan orang awam supaya bersederhana dalam berbelanja serta bijak membuat pilihan. - BERNAMA

bazar Ramadan, KPDNKK

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Antara Puasa Atau Nyawa?

Artikel Lain