suria

Pembinaan Projek 'Dubai Malaysia' Diarah Henti

Pandangan Kampung Tepi Laut di Kuala Kedah yang menempatkan tapak projek pembangunan.

ALOR SETAR: Arahan telah dikeluarkan supaya segera menghentikan kerja-kerja di tapak projek pembangunan bercampur bernilai RM1.2 bilion di Kuala Kedah dekat sini yang digelar sebagai 'Dubai Malaysia'.

Arahan terhadap projek Aman Laut itu dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi satu notis pada 15 Mac lalu.

Projek berkenaan meliputi banglo mewah, kondominium moden, gedung membeli-belah dan premis makanan mewah yang bakal mengubah pemandangan kaki langit di tepi laut kawasan itu.

Ketua Pengarah JAS, Datuk Dr Ahmad Kamarulnajib Che Ibrahim pada Ahad mengesahkan jabatannya mengeluarkan arahan tersebut.

Beliau berkata, projek berkenaan masih belum mendapat kelulusan jabatan itu tetapi pekerja telah memulakan kerja-kerja penambakan di tapak projek.

"Ini adalah selaras dengan Seksyen 34AA (2) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan) 2012 bahawa tiada kerja-kerja boleh dijalankan sebelum mendapat kelulusan jabatan.

"Kerja-kerja hanya boleh dilakukan selepas mendapat kelulusan," tambahnya.

Kajian yang dijalankan Sahabat Alam Malaysia (SAM) mendapati satu kawasan yang terletak kira-kira satu kilometer telah ditambak dan hampir 10 hektar paya bakau di sepanjang pantai terjejas.

Semenatara itu, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar Kedah, Datuk Dr Leong Yong berkata, keputusan yang dibuat jabatan persekutuan adalah sementara sehingga diberitahu kelak.

Arahan itu dikeluarkan bagi melindungi kawasan pantai dan persekitaran laut di kawasan itu.

"Ia juga untuk pemaju mematuhi pra-syarat laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) sebelum meneruskan projek berkenaan.

"Kerajaan Kedah sama-sama mengambil berat tentang EIA dan tidak mempunyai bantahan terhadap tindakan kementerian sementara menunggu laporan penuh EIA," kata Dr Leong.

"Bagaimanapun, terdapat beberapa kerja yang masih dijalankan di tapak di tanah besar yang telah diluluskan pihak berkuasa tempatan.

"Ini tidak boleh disalah anggap sebagai melanggar arahan menghentikan kerja-kerja jabatan atau Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain