suria

Pelajar MRSM Kena Buang Boleh Rayu Ke Sekolah Biasa

-Gambar hiasan

JELEBU: Sepuluh pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit, Perak yang ditamatkan pengajian berkuat kuasa Selasa kerana kesalahan membuli, boleh membuat rayuan untuk memasuki sekolah harian biasa.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata rayuan berkenaan boleh dibuat di Jabatan Pelajaran di mana-mana negeri.

"Bagaimanapun untuk mereka ini, ada syarat-syarat tertentu kerana kita telah tahu apa masalah yang mereka ini terlibat," katanya kepada pemberita di sini, malam Rabu.

Pada 18 Mei lepas, media melaporkan enam pelajar MRSM Parit menjadi mangsa buli apabila dipukul oleh 10 senior mereka kerana mangsa enggan meminjamkan kasut bola, awal bulan ini.

Kes itu membabitkan mangsa yang kesemuanya berusia 14 tahun yang dipukul pelajar senior berumur 15 tahun dan 16 tahun.

Terdahulu, Mahdzir merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Parlimen Jelebu yang dihadiri kira-kira 300 warga pendidik.

Turut hadir, Anggota Dewan Undangan Negeri Pertang yang juga Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Jalaluddin Alias, Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof dan Pengarah Pelajaran Negeri Rusni Ab Jalil. -Bernama

MRSM, kes buli, Mahdzir Khalid

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain