suria

Pulau Batu Puteh: Singapura Beri Jawapan Sebelum 14 Jun

PUTRAJAYA: Singapura dijangka memberi jawapan kepada permohonan Malaysia untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008 berhubung Pulau Batu Puteh, Middle Rocks dan South Ledge sebelum 14 Jun ini, kata Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Mohamed Apandi berkata sebaik sahaja permohonan itu diterima, sepasukan pakar tempatan dan antarabangsa yang diketuai beliau sendiri, "akan meneliti segala butirannya dan memberi respons dengan sewajarnya." Katanya semakan semula keputusan ICJ terhadap Pulau Batu Puteh, Middle Rocks dan South Ledge berjalan dengan baik.

"Saya mempunyai lima penyelidik yang bertugas setiap hari di London, meneliti beribu-ribu dokumen di dalam arkib. Hingga sekarang pun, mereka masih melakukan tugas itu," katanya kepada pemberita ketika ditanya tentang status permohonan semakan semula itu, selepas merasmikan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Undang-undang ASEAN (ASLOM) ke-17 di sini pada Isnin.

Pada 2 Februari lepas, Malaysia memohon untuk menyemak semula keputusan makkamah antarabangsa itu yang memberi hak kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura berikutan penemuan bukti baharu daripada kira-kira 3,000 dokumen, yang diubah status oleh kerajaan British pada 2013, yang boleh membantu kes itu.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan bahawa Singapura mempunyai hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, yang terletak kira-kira 7.7 batu nautika dari pantai Tanjung Penyusuh, Johor.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Apandi berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka melengkapkan siasatan terhadap aliran wang daripada SRC International ke dalam akaun perdana menteri, dalam masa sebulan atau lebih awal.

Mohamed Apandi, yang mengulangi bahawa beliau tidak pernah mengarahkan supaya siasatan berkaitan perkara itu dihentikan, berkata kes itu akan disiasat semula jika terdapat bukti baharu yang mewajarkan supaya fail siasatan dibuka semula.

"Tiada tindakan selanjutnya (NFA) adalah istilah biasa yang digunakan oleh pihak pendakwaan untuk menunjukkan bahawa tiada tindakan selanjutnya pada masa yang berkenaan. NFA bermakna jika terdapat bukti baharu atau sebarang perkembangan, kami boleh membuka semula apa juga siasatan. Tidak semestinya berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), tetapi bagi semua kes," tegas beliau seperti dilaporkan Bernama.

Ketika berucap merasmikan mesyuarat itu, Mohamed Apandi berkata anggota ASEAN perlu memberi sanjungan kepada ASLOM berikutan peranannya dalam mewujudkan saluran dan program komunikasi yang menjadi elemen penting dalam menyediakan peluang kesalinghubungan dan rangkaian di kalangan perkhidmatan awam dan komuniti perundangan anggota ASEAN, di lapangan.

Beliau berkata hubungan ASLOM boleh dizahirkan menerusi penglibatan dalam isu keselamatan bukan tradisional yang mengancam kestabilan serantau seperti pengganas asing dan radikalisasi, cabaran yang dibawa oleh perdagangan rentas sempadan dan pergerakan manusia, serta kesan perubahan iklim terhadap ekonomi ASEAN dan mata pencarian penduduk.

ASLOM, katanya, harus dipuji berikutan pencapaian cemerlangnya, dan paling ketara, adalah tugasnya memberi bantuan bersama dalam memerangi jenayah rentas sempadan, termasuk pemuktamatan dan pengesahan Perjanjian Bantuan Perundangan Bersama dalam Perkara Jenayah Antara Negara Anggota ASEAN yang Sehaluan pada 2004, katanya.

Para pegawai Undang-undang ASEAN juga merupakan penggerak utama di sebalik kesimpulan dan penguatkuasaan Konvensyen ASEAN Terhadap Pemerdagangan Manusia, Terutamanya Wanita dan Kanak-kanak, baru-baru ini, katanya.

Malaysia menjadi tuan rumah ASLOM ke-17 dari 14 hingga 17 Mei.

Pulau Batu Puteh

Artikel Berikut

Artikel Lain