suria

Taska Di Tempat Kerja Satu Keperluan

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Sektor swasta dan awam digalak menubuhkan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) sebagai sistem sokongan kepada ibu bapa yang bekerja khususnya bagi ibu yang menyusukan anak.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Datuk Dr Siti Norlasiah Ismail berkata langkah itu perlu bagi membolehkan wanita bekerjaya berkenaan menyusukan anak mereka sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun.

"Dengan adanya kemudahan Taska di tempat kerja, wanita bekerjaya berkenaan merasakan adanya sokongan untuk mereka menyusukan anak mereka malah menyingkirkan kerisauan apabila berjauhan dengan anak yang masih kecil.

"Kita mahu golongan berkenaan dekat dengan anak mereka selain mendorong mereka meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan," katanya pada sidang media mengenai sambutan Hari Ibu 2017 di Wisma Bernama, di sini Jumaat.

Menurut Siti Norlasiah, terdapat segelintir wanita bekerjaya terpaksa berhenti kerja berikutan kekangan masa serta masalah berkaitan penjagaan anak mereka sehingga menyebabkan berlakuknya pembaziran tenaga mahir dalam kalangan wanita.

"Sekarang ini pula ada kes dera dan macam-macam lagi di Taska, maka jalan singkat yang mereka ambil adalah berhenti kerja. Rata-rata yang berbuat demikian adalah golongan profesional. Maka kami amat menyokong penuh usaha mewujudkan Taska di tempat kerja," katanya.

Mengenai sambutan Hari Ibu 2017 bertemakan #sayasayangibusaya, Siti Norlasiah mengajak rakyat negara ini khususnya mereka yang tinggal di Lembah Klang untuk hadir ke pusat beli-belah Alamanda, Putrajaya pada Ahad ini bagi meraikan sambutan Hari Ibu.

Katanya pelbagai acara diadakan sejak 11 Mei sehingga Ahad ini bagi meraikan golongan ibu.

Antara aktiviti menarik adalah Terapi Ketawa, pemeriksaan ''pap smear'' dan payu dara bagi mengesan kanser secara percuma kepada 50 pengunjung pertama, urutan kesejahteraan, urutan bahu, urutan kaki serta pameran dan jualan. - BERNAMA 

taska, LPPKN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Pertaruh Nyawa Demi RM20

Artikel Lain