suria

Suami Isteri Didakwa 'Jual' Kanak-Kanak, Remaja

KUANTAN: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan melakukan eksploitasi terhadap empat kanak-kanak dan remaja berusia 15 hingga 19 tahun pada tahun lepas.

Tertuduh Muslim Ab Karim, 56 dan isterinya Zaleha Mohamad, 54 yang juga telah didakwa atas 12 pertuduhan yang sama di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Isnin lalu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri didakwa memperdagangkan seorang remaja berusia 19 tahun bagi maksud eksploitasi kerja paksa di Restoran Kemaman Kopitiam, jam 11 malam, 9 November 2016.

Muslim dan Zaleha turut dituduh memperdagangkan tiga lagi kanak-kanak berusia 15 hingga 17 tahun bagi tujuan yang sama di stesen minyak Petronas, Tanjung Lumpur pada 11.50 malam pada hari yang sama.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 dan Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan didenda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Jaizah Jaafar Sidek memohon kepada mahkamah supaya tidak membenarkan sebarang ikat jamin terhadap pasangan suami isteri itu memandangkan kedua-dua tertuduh juga menghadapi pertuduhan yang sama di Mahkamah Sesyen Raub, esok.

"Tertuduh sebelum ini telah didakwa atas 12 pertuduhan yang sama di Mahkamah Sesyen Ipoh 8 Mei lalu, dan akan dihadapkan di Mahkamah Sesyen Raub esok dan Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Ahad nanti atas pertuduhan yang sama.

"Selain itu, Muslim dan Zaleha juga masih lagi pengerusi dan bendahari Pusat Latihan Amal Bestari, Yan, Kedah dan jika dibenarkan ikat jamin dikhuatiri keadaan itu mempengaruhi keluarga mangsa dan mangsa sendiri. Justeru, mahkamah dipohon agar tidak mengenakan sebarang jaminan,"katanya.

Hakim Siti Aminah kemudian menetapkan 19 Jun depan untuk sebutan semula kes dan tiada jaminan ditawarkan. - Bernama

Muslim, Zaleha, Atipsom

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain