suria

Boleh Untung Ke Tanah Rizab Melayu, Bumiputera?

PETALING JAYA: Tanah rizab Melayu dan hartanah Bumiputera tidak seharusnya dianaktirikan dengan anggapan sukar  memberi pulangan yang baik sebagaimana hartanah lain.

Perunding hartanah, Khairul Anuar Shaharudin berkata, ia adalah persepsi salah kerana sebenarnya banyak hartanah sedemikian di negara ini terutama di Lembah Klang mampu memberi pulangan yang baik.

Katanya, persoalan mengenai pulangan itu menduduki lima teratas yang dibangkitkan kebanyakan pihak berhubung tanah rizab Melayu dan hartanah Bumiputera.

"Mereka juga bertanyakan di mana lokasinya dan bagaimana hendak melakukan transaksi melibatkan hartanah-hartanah ini.

"Selain itu, adakah ia boleh dijual kepada orang bukan Melayu dan bukan Bumiputera serta kos untuk melakukan transaksi tersebut," katanya yang mewakili firma guaman Khairul, Suhaila dan Hazlina di sini.

Khairul Anuar merupakan antara penceramah sempena Konvensyen Hartanah anjuran Star Property di Sogo Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung pada 11 sehingga 14 Mei ini.

Peguam dan usahawan yang berpengalaman hampir 20 tahun dalam bidang hartanah dan kewangan ini akan memberikan ceramah mengenai tanah rizab Melayu dan hartanah Bumiputera.

"Saya akan mengupas mengenai lokasi atau 'hotspot' dua jenis hartanah ini dan menjawab persoalan mengenai tanah rizab Melayu dan Bumiputera di Lembah Klang dan bagaimana situasinya di tempat-tempat lain.

"Antara lain saya juga akan menjelaskan kenapa hartanah-hartanah Melayu dan Bumiputera ini menjadi stigma kepada orang yang mahu membuat pelaburan dalam hartanah," ujar Khairul Anuar.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain