suria

KPN: Warga Turki Diculik Sebenarnya Ditahan Polis

Karaman. Foto TurkishMinute

SHAH ALAM: Polis mengesahkan seorang lelaki warga Turki yang sebelum ini dianggap diculik bersama seorang lagi individu, sebenarnya ditahan.

"Polis mengesahkan warga Turki, T. Karaman dan I. Aslan ditangkap semalam berkaitan aktiviti yang mengancam keselamatan Malaysia di bawah Seksyen 130 Kanun Keseksaan," kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar di twitternya pada tengah hari Rabu.

Terdahulu, Khalid memberitahu pemberita bahawa polis sedang menyiasat dakwaan berhubung seorang warga Turki (dikenali sebagai Turgay Karaman) diculik di Damansara Heights pada Selasa, selepas satu laporan polis dibuat.

Menurut sebuah blog Turki, lelaki kedua yang dikenal pasti sebagai ahli perniagaan bernama Ihsan Aslan dikatakan turut diculik bersama Karaman pada Selasa.

Karaman, yang dipercayai seorang pengetua di sebuah sekolah antarabangsa di Ipoh, sepatutnya memberi keterangan pada perbicaraan yang ditetapkan pada 3 dan 4 Mei.

Karaman sepatutnya berjumpa dengan rakannya, Suheyl Ozcelik di pejabat peguam mereka di Damansara Heights pada pukul 4.30 petang Selasa, tetapi tidak menghadirkan diri.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain