suria

JJPTR Tawar Pulangan Lebih Banyak

Johnson Lee.

PETALING JAYA: Selepas kejatuhan skim kewangan sebelum ini yang kononnya disebabkan akaun digodam, pengendali skim kontroversi itu, Johnson Lee memperkenalkan pelan baharu yang menawarkan lebih banyak pulangan.

Skim JJPTR sebelum ini kerugian RM500 juta yang lesap dari akaun syarikat itu dengan menawarkan pulangan sebanyak 20 peratus sebulan, dan kini membuat tawaran baharu 35 peratus.

Selain itu, ia menawarkan cabutan bertuah istimewa dengan membariskan kereta, motosikal dan telefon baharu sebagai hadiah.

Bagaimanapun, apa yang tidak dinyatakan adalah bagaimana rancangan Lee , 28 untuk menjelaskan bahawa kerugian AS$400 juta (RM1.73 bilion) itu telah ditanggung syarikat. 

Skim baharu tersebut turut tidak menjelaskan bagaimana beliau merancang untuk membayar semula kepada mereka yang kehilangan wang dalam skim sebelum ini.

Video berdurasi selama seminit dan 30 saat yang dimuat naik Lee menunjukkan pelan baharu itu berdasarkan 'mekanisme perpecahan' dan mempunyai tiga pusingan.

Pelaburan awal dalam dolar Amerika Syarikat (AS) 'berpecah' atau 'digandakan' dalam setiap pusingan. 

Separuh daripadanya akan dilaburkan semula di dalam skim dan dijadikan modal untuk pusingan seterusnya.

Setiap pusingan berlangsung dalam tempoh 10 hari dan pelabur dibenarkan untuk menukarkan perolehan kepada ringgit selepas tiga pusingan.

Mana-mana peserta yang melabur AS$1,000 (RM4,331) dijangka menerima AS$450 (RM1,949) setiap pusingan, memberikan ia pulangan AS$1,350 (RM5,847) pada akhir pusingan tiga.

Di bawah skim baharu yang dicadangkan itu, pelabur juga akan diberi ganjaran dengan mata JJ, yang boleh digunakan sebagai pertukaran kepada barangan menerusi platform membeli-belahnya, JJ Mart.

Skim baharu yang diumumkan Lee pada Selasa lalu selepas berita mengenai syarikatnya mengalami kerugian tersebar.

Syarikat berkenaan bagaimanapun tidak menyebut bila pelan baharu itu akan bermula.

Lee gagal dihubungi dan nombor yang tertera di halaman Facebook milik JJTPR tiada lagi dalam perkhidmatan.

JJPTR, Johnson Lee

Artikel Lain