suria

'Gaun Menggoda', Pengarah Pertandingan Catur Dikecam Netizen

PETALING JAYA: Pengarah kejohanan catur di mana seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun didakwa terpaksa menarik diri kerana memakai pakaian 'menggoda' kini dikecam netizen.

Gambar-gambar Sophian A. Yusof bersama mesej mendesaknya meletak jawatan sebagai Penolong Setiausaha Persekutuan Catur Malaysia telah tersebar luas di media sosial.

Gambar yang turut menerima lebih dari 2,000 perkongsian di Facebook itu disertai dengan kenyataan marah terhadap Sophian di bahagian komen.

Netizen juga telah mengesan Facebooknya menyebabkan ia dibanjiri dengan kritikan.

Sehingga tengah hari Isnin, pengarah kejohanan itu tidak memberi tindak balas kepada pertanyaan The Star berhubung gambar yang tular itu.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa penganjur Kejohanan Catur Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan 2017 yang diadakan pada 14 April di Putrajaya memaksa murid berkenaan menarik diri daripada kejohanan itu kerana memakai baju yang didakwa kelihatan 'menggoda'.

Menurut sebuah portal berita, pengarah kejohanan itu telah membuat laporan polis berhubung posting Facebook oleh jurulatih kanak-kanak itu sebelum ini, yang didakwa memutarbelit kisah sebenar yang berlaku.

Murid berkenaan dilaporkan diminta berhenti bermain di tengah-tengah pusingan dua, tanpa masa diberhentikan, dan ketua pengadil memberitahunya bahawa pakaiannya tidak sopan.

Ibu kanak-kanak berkenaan, Chin Wai Ling, berkata 'keputusan' pengarah itu hanya dibuat sekitar pukul 10 malam apabila kedai telah ditutup, justeru beliau tidak mempunyai masa untuk membeli seluar panjang untuk perlawanan keesokan hari yang bermula pukul  9 pagi.

Berasa terganggu dan dimalukan, murid berkenaan yang merupakan juara catur daerah Kuala Lumpur, menarik diri daripada kejohanan.

Pada 28 April, pengarah kejohanan memberitahu The Star bahawa penganjur tidak akan membuat kenyataan lanjut sehingga siasatan selesai.

Artikel Lain