suria

Henti Spekulasi Kematian Thaqif - MB Johor

Mohamad Thaqif.

JOHOR BAHRU: Pengguna media sosial digesa menghentikan spekulasi berhubung kematian murid berusia 11 tahun yang didakwa dipukul di madrasah tahfiz di Kota Tinggi di sini.

"Orang ramai seharusnya berhenti menyebarkan khabar angin dan berita tidak sahih, terutama di media sosial, kerana ia akan mengelirukan orang lain dan memburukkan keadaan," kata Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau turut berkata, polis perlu diberikan ruang untuk menyiasat kes tersebut bagi mendapatkan keadilan sewajarnya.

Mohamed Khaled berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat agung ke-6 Koperasi Warisan Kampung Senibong Johor Baru Berhad pada Isnin.

Beliau mengulas perkara itu ketika ditanya mengenai kenyataan yang dikeluarkan sekolah berkenaan, Madrasah Tahfiz Al-Jau­har (MTAJ) di halaman Facebooknya pada Ahad berhubung nota sebanyak enam muka surat yang ditulis Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi.

Menurut kenyataan itu, MTAJ mendakwa selain satu halaman diari arwah mengenai dakwaannya diseksa, terdapat beberapa halaman yang  mungkin boleh menjelaskan watak sebenar arwah.

Pihak sekolah turut memberitahu, enam muka surat diari itu telah diserahkan kepada polis untuk siasatan.

Dilaporkan pembantu warden madrasah di Kampung Lukut itu didakwa memukul Allahyarham Mohamad Thaqif.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan selepas dua minggu berita dakwaan penderaan Mohamad Thaqif, pihak madrasah mengakui pembantu warden itu merupakan bekas banduan.

Dilaporkan, suspek menjalani hukuman penjara 30 bulan kerana mencuri, sebelum bekerja di madrasah itu tahun lalu.

Suspek kini direman sehingga 3 Mei bagi siasatan di bawah Seksyen 303 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Madrasah itu memberitahu, pembantu warden tersebut telah mengaku sendiri tentang sejarah lamanya setelah diterima berkerja sekali gus membuatkan pihak madrasah memahaminya yang cuba bersikap jujur untuk membaiki kehidupan.

Artikel Berikut

Tiada Lagi PM Umno

Artikel Lain