suria

Tangguh Umrah Kerana Masalah Kesihatan

ASSALAMUALAIKUM. Tetamu Allah. Itulah panggilan yang sering kita dengar apabila diundang ke Baitullah. Biar wang bertimbun, kesihatan yang baik dan masa yang lapang, tanpa undangan daripada Allah SWT, kita tidak sampai ke Tanah Suci Makkah dan Madinah.

Justeru, bersyukurlah apabila diundang sebagai tetamu Allah dan rebutlah peluang sebanyaknya untuk meningkatkan ibadat, memperbanyakkan doa dan memohon keampunan daripada Maha Esa kerana tiada seorang pun tahu adakah kita bakal diundang lagi atau tidak ke Tanah Suci.

Ketika menguruskan jemaah umrah pada Februari 2013, masih saya ingat kesedihan seorang jemaah wanita yang tidak berpeluang mengerjakan ibadat umrah kerana masalah kesihatan yang dihadapi pada saat-saat akhir sebelum berangkat.

Tujuh hari sebelum berangkat mengerjakan ibadat umrah, saya menerima panggilan telefon daripada Aina, sepupu kepada Kasmah yang juga kenalan rapat saya.

“Kak Ana. Sepupu saya, kak Kasmah sakit dan sekarang di hospital,” ujar Aina dengan nada cemas.

“Sakit apa? Serius ke? Dia di hospital mana sekarang?” tanya saya bertalu.

“Dia mengadu sakit dada semalam dan pagi ini, keluarga Kasmah membawanya ke hospital untuk rawatan lanjut. Buat masa ini belum tahu lagi. Mungkin jantunglah sebab sakit dada,” balas Aina.

“Dia memang ada sakit jantung ke? tanya saya pula.

“Tak ada rekod sebelum ini. Kesian tengok dia. Bersungguh-sungguh nak pergi umrah dengan kita.

Dia suruh saya tanyakan pada kak Ana boleh ke dia ke Makkah nanti. Saya baru ziarah dia sebentar tadi,” balas Aina lagi.

“Kita doalah agar dia sihat semula dan dapat ke Makkah dengan kita minggu depan,” ujar saya menenangkan Aina.

Esoknya, iaitu Jumaat, saya meluangkan masa untuk menziarahi Kasmah di hospital . Sejurus melangkah masuk ke dalam bilik Kasmah dan memberi salam, saya memperkenalkan diri saya.

Melihatkan saya berdiri di sisi dan bersalaman dengannya, Kasmah kelihatan hiba dan tidak mampu melafazkan kata-kata. Ahli keluarganya bercerita dengan saya keadaan Kasmah.

“Doktor kata jantungnya bengkak. Dia mudah penat dan tidak boleh berjalan jauh,” ujar emaknya yang turut berada di sisi katil.

Saya sekadar mengangguk dan memerhatikan Kasmah yang terbaring lesu. Tiba-tiba dengan linangan air mata, Kasmah berkata:

“Doakan saya dapat pergi umrah,” ujarnya.

“InsyaAllah. Semoga cepat sembuh. Dapat kita sama-sama pergi umrah minggu depan,” balas saya.

Kasmah kelihatan sedih dan air matanya berlinangan. Saya memahami keadaannya, apatah lagi kali pertama hendak mengerjakan umrah. Kira-kira setengah jam di hospital, saya memohon diri untuk pulang dan meminta keluarga Kasmah maklumkan pada saya perihal tahap kesihatan Kasmah.

Pada Sabtu dan Ahad, sepupu Kasmah, Aida, menghubungi saya dan mengatakan sanggup membawa Kasmah menunaikan umrah walaupun keadannya tidak mengizinkan.

“Kak Ana, saya sanggup bawa dia dengan kerusi roda. Tak mengapa saya boleh tolak dia ke masjid dan untuk ziarah. Insha Allah, saya dan Aina bergilir menolak dia dengan kerusi roda. Tidak sampai hati tengok dia merayu dan menangis hendak ke Makkah bersama-sama kita,” ujar Aida bersungguh.

“Bukan pasal tolak dengan kerusi roda jadi masalah Aida tapi kak risaukan tahap kesihatannya yang membimbangkan kerana dia bermasalah jantung,” balas saya pula.

“InsyaAllah kak. Kami bawa ubat-ubatan dari Kuala Lumpur yang dibekalkan untuknya. Saya dan Aina dah janji nak bawa dia dan kami bersedia tolak dia dengan kerusi roda. Mak dia mengharapkan saya dan dan Aina tengok anak dia dan insha Allah, kami akan tengokkan,” ujar Aida penuh mengharap.

“Beginilah…kita tunggu dulu sehingga Isnin. Jika kesihatannya semakin baik dan doktor izinkan untuk tunai umrah, kita bawa. Buat masa sekarang kita berdoa yang terbaik untuk dia,” balas saya pula.

Saya turut maklumkan kepada agensi pengendali umrah yang melantik saya sebagai petugas perihal tahap kesihatan Kasmah.

Beliau turut mengatakan agar tunggu sehingga Isnin dan mengikuti perkembangan kesihatan Kasmah. Saya juga dimaklumkan bahawa daftar masuk jemaah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang adalah pada Selasa biarpun jadual penerbangan pada Rabu.

Pada Isnin malam, saya menerima panggilan telefon daripada Aina.

“Kak Ana, sepupu saya masih di hospital. Keadaannya agak serius kerana cepat penat. Malah, doktor cakap, hendak berjalan 5 langkah pun, dia sudah mengah. Jadi doktor nasihat tangguhkan pemergian ke Makkah…” ujar Aina dengan sebak.

“Baiklah. Tiada rezeki nak tunai umrah. Allah lebih mengetahui dan tentu ada hikmahnya. Mudah-mudahan adalah rezeki pada lain kali,” ujar saya pula.

Tidak lama selepas itu, saya dihubungi pula oleh ketua agensi pengendali umrah dan meminta saya membantu kerja-kerja daftar masuk jemaah pada Selasa pagi di KLIA kerana semua kakitangannya bercuti pada hari berkenaan. Secara kebetulan pada hari Selasa ketika itu adalah cuti umum.

Saya turut maklumkan perihal Kasmah yang tidak dibenarkan menunaikan umrah kerana masalah kesihatan dan masih terlantar di hospital.

Esoknya, selepas bersarapan, saya ke KLIA untuk kerja-kerja daftar masuk jemaah. Saya maklumkan kepada petugas di kaunter bahawa seorang jemaah tidak boleh berangkat kerana masih menerima rawatan di hospital.

“Jika jemaah keluar hospital pada petang ini, bolehlah dia berangkat esok. Buat masa ini, saya siapkan pas berlepas dia terlebih dahulu. Kita tunggu sehingga esok. Mana tahu tiba-tiba dia boleh pergi umrah…” jelas petugas di kaunter penuh sopan.

“Ok. Terima kasih. Yelah, kita pun tak tahu jika sekejap lagi dia sihat dan esok dia boleh tunai umrah,” balas saya pula tersenyum.

“Esok, Puan maklumkan pada kakitangan di kaunter jika dia tak boleh pergi,” pinta petugas berkenaan.

“Baiklah. Jika jemaah tak ada, tiket macam mana sebab dia sakit,” soal saya pula.

“Esok penerbangan sewa khas. Jadi jika tiada jemaah, memang tiket habis begitu sahaja Puan. Tak boleh dapat apa-apa,” ujar petugas itu lagi.

“Oh ok. Terima kasih,” ujar saya sebelum meninggalkan kaunter itu.

Sejurus pulang ke rumah, saya menyusun pakaian di dalam bagasi besar. Biarpun letih tetapi saya gembira dan bersyukur kerana bakal berangkat ke Tanah Suci bersama-sama 15 jemaah wanita, termasuk ibu saya dan lima jemaah lelaki.

Esoknya, berangkatlah saya ke Tanah Suci bersama-sama sekumpulan jemaah yang amat saya kenali dan rapat dengan saya. Alhamdulillah. Perjalanan kami dipermudahkan. Segala-galanya berjalan lancar ketika di Madinah.

Namun, di Makkah, dua jemaah warga tua tidak sihat. Seorang adalah ibu kepada Aida dan Aina manakala seorang lagi sepupu mereka.

Melihatkan keadaan ibu dan sepupu sahabat saya itu, terdetik di dalam hati, bayangkanlah jika Kasmah turut serta di dalam rombongan umrah kerana kedua-dua beradik itu sudah berjanji mahu menolaknya dengan kerusi roda.

Bagaimanapun, mereka akhirnya menolak ibu mereka ke hospital di Makkah manakala saya menolak sepupu mereka.

Tahun silih berganti, Kasmah semakin sihat. Terkini, dia baru pulang menunaikan umrah Februari lalu. Alhamdulillah, selepas empat tahun tertangguh akhirnya dia diundang sebagai tetamu. Jika ada rezeki tidak ke mana.

Apa pula cerita minggu hadapan, nantikan coretan saya, insyaAllah. 


Baitullah, Kasmah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain