suria

Azalina Harap J/Kuasa Khas Beri Manfaat Kepada Ahli Majlis Peguam

Azalina Othman Said (tiga, kanan) menerima kunjungan hormat daripada Presiden Majlis Peguam George Varughese (empat, kiri) di Parlimen, Khamis. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Penubuhan jawatankuasa khas diharap dapat membantu memperhalusi pindaan-pindaan berkaitan Akta Profesion Undang-undang (LPA) 1976, bagi membolehkan ia dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang, kata Menteri di Jabatan Perdana  Menteri Datuk Seri Azalina Othman.

Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan yang dianggotai wakil kerajaan dan Majlis Peguam juga akan memainkan peranan untuk memastikan kebajikan mereka yang terlibat dalam sektor guaman, terutamanya 17,000 anggota Majlis Peguam, akan terus terjaga.

"Harapan saya agar jawatankuasa khas ini boleh melihat semula LPA serta mengkaji semula aspek dan  pembaharuan kepada akta berkenaan.

"Dan saya harap, melalui penubuhan (jawatankuasa) ini,  ia dapat  memberi manfaat kepada seluruh ahli Majlis Peguam," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, di sini, Khamis.

Terdahulu, Azalina,yang juga anggota Parlimen Pengerang, menerima kunjungan hormat  delegasi  Majlis Peguam, diketuai presidennya yang baharu iaitu George Varughese.

Menyentuh lebih lanjut mengenai perbincangan dalam kunjungan hormat itu, Azalina berkata, beliau telah berbincang mengenai isu-isu berkaitan Majlis Peguam seperti publisiti, undang-undang  serta peperiksaan untuk ahli Majlis Peguam.

"Kami juga berbincang tentang beberapa isu pindaan rang undang-undang yang sedang dibawa dalam Parlimen iaitu seperti kebankrapan, jenayah seksual, dan sebagainya.

"Dan saya juga telah berbincang tentang Pusat Timbang Tara Antarabangsa Kuala Lumpur  kerana kita nak melihat lebih ramai peguam- peguam terlibat dalam timbang tara sebagai satu pendekatan profesion selain daripada mahkamah saja, dia boleh jadi arbitrators (penimbang tara)," katanya.-Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain