suria

Tiada Perpecahan Dalam Umno - Ahmad Zahid

PUTRAJAYA: Golongan yang tidak berpuas hati wujud dalam mana-mana organisasi politik termasuk Umno tetapi ia tidak membawa kepada perpecahan parti orang Melayu itu yang akan menyambut ulang tahun ke-71 pada 11 Mei ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid selaku naib presiden yang menjalankan tugas sebagai timbalan presiden Umno, berkata beliau dan Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak berpuas hati dengan saf kepimpinan sama ada di peringkat akar umbi mahupun nasional.

"Memang di mana-mana organisasi terdapat mereka yang tidak berpuas hati, bukan sahaja di dalam Umno tetapi parti-parti politik yang lain sebab politik itu dinamik bentuknya.

"Maka jika ada permasalahan sekali pun, ia harus diatasi dengan segera dan inilah yang saya lakukan dengan perdana menteri (Najib)," kata nya kepada pemberita selepas Persidangan Ekologi Manusia Antarabangsa 2017, di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau yakin dengan kesepaduan di dalam Umno menjelang sambutan ulang tahun ke-71 parti itu.

Mengulas mengenai isu media sosial yang disentuh dalam ucapannya pada persidangan anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, Ahmad Zahid berkata rakyat Malaysia mesti menggunakan media sosial dengan bijak untuk tujuan positif dan menolak sebarang maklumat yang sengaja ingin merosakkan ekosistem sedia ada.

Sebagai rakyat yang hidup di dalam negara berbilang kaum dan agama, masyarakat tidak sepatutnya mengikut acuan negara lain untuk diadaptasi di Malaysia, katanya.

"Saya terbaca sebuah buku yang ditulis oleh seorang blogger di Amerika Syarikat bertajuk 'Trust me, I'm lying'. Itu dibuat oleh seorang yang telah memulakan aktiviti dalam memberikan maklumat salah di media sosial.

"Pada hemat saya setakat bergurau dibolehkan, tetapi untuk merendahkan apatah lagi membuat sesuatu seperti 'framing news' atau untuk mencapai tujuan sadisme...membuatkan seseorang menderita atau berpecah-belah maka itu bukan budaya kita," tegasnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata media sosial telah dijadikan  platform untuk perbuatan tidak bermoral, pangkalan transaksi perniagaan, menghasut bagi keganasan, saluran untuk memaklumkan dan salah maklum, menimbulkan kebencian dan menyebarluaskan pembohongan.

Beliau berkata kajian dijalankan oleh kalangan ahli psikologi  dan pakar di Malaysia mendapati 95 peratus pengganas Malaysia bermula di Facebook.

Ahmad Zahid berkata maklumat mengenai jihad dan tauhid yang diperolehi mereka menerusi Facebook telah diselewengkan oleh pemimpin organisasi keganasan.

"Budaya baharu ini akan mendorong orang menentang kerajaan mereka dan perang bukan lagi perjuangan tentera menentang tentera lain tetapi tentera memerangi rakyat mereka sendiri.

"Perang bukan lagi perjuangan untuk melindungi kedaulatan atau kawasan tetapi perang dilancarkan terhadap  'orang gila' yang mempunyai senjata api di tangan mereka atas nama bangsa, agama dan politik," katanya.-Bernama

Ahmad Zahid Hamidi

Artikel Lain