suria

Kerajaan Kaji Tambah Baik Sistem Pencen

Zainal Rahim Seman menyampaikan amanatnya di sesi interaksi Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bersama Pegawai Muda Jabatan Persekutuan dan Negeri pada Khamis. Foto: Bernama

IPOH: Kerajaan sedang mengkaji untuk menambah baik sistem pencen sedia ada, termasuk melihat kaedah yang digunakan di luar negara, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Zainal Seman.

Beliau berkata usaha untuk melakukan pembaharuan terhadap sistem tersebut penting demi memastikan sistem digunakan lebih sistematik.

"Sistem pencen sedia ada masih kita teruskan seperti biasa dan berkemungkinan kita boleh lihat bagaimana untuk kita melakukan pembaharuan terhadap sistem tersebut.

"Sebagai satu alternatif kita boleh melihat negara luar yang menggunakan kaedah pencen bercarum dan ada yang mengatakan kita boleh menggunakan kaedah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Interaksi Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bersama pegawai-pegawai muda kerajaan negeri di sini, Khamius.

Pada majlis itu, seramai 69 pegawai lelaki dan 69 pegawai wanita daripada pelbagai skim dan gred perkhidmatan dari pelbagai agensi negeri menerima kenaikan pangkat, manakala 18 pesara menerima surat penghargaan persaraan.

Dalam pada itu, Zainal menyarankan orang ramai supaya menggunakan perkhidmatan dalam talian sebagai usaha meningkatkan mutu kecekapan perkhidmatan yang ditawarkan jabatan-jabatan kerajaan.

Beliau berkata lebih 11,000 perkhidmatan dalam talian disediakan oleh kerajaan dan digunakan secara meluas oleh orang awam.

"Saya percaya melalui sistem teknologi komunikasi dan maklumat, kita boleh melakukan banyak penambahbaikan.

"Sekiranya seseorang individu memerlukan perkhidmatan, boleh terus mengemukakan permohonan menerusi aplikasi sedia ada misalnya dalam telefon bimbit," katanya.-Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain