suria

Rampas Produk Kosmetik Cecah RM800,000

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan merampas pelbagai barangan dan produk kecantikan farmaseutikal berbentuk suntikan tidak berdaftar bernilai RM779, 663.

Kesemua barang kecantikan terlarang itu dirampas Biro Farmasi Kebangsaan dalam serbuan Ops Kosmetik di 66 premis salun kecantikan, spa, klinik estetik, perubatan, pengedar dan pemborong dan kedai kosmetik serta rumah kediaman di seluruh negara.

Menterinya Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, kes berkenaan disiasat dibawah Akta Jualan Dadah 1952.

“Serbuan itu dilakukan pada 11 April lalu oleh Biro Farmasi Kebangsaan menerusi pemeriksaan rapi terhadap premis berkaitan kecantikan dan kosmetik itu.

“Pelbagai produk farmaseutikal berbentuk suntikan yang tidak berdaftar tetapi digunakan untuk kecantikan seperti suntikan Botox, Vitamic C, Glutathione, Plasenta dan kosmetik tidak bernotifikasi telah dirampas,” katanya dalam sidang media di kementeriannya di sini.

Subramaniam berkata, sebarang jenis produk kecantikan dikawal dibawah Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Akta Jualan Dadah 1952.

Tambah beliau, tindakan punitif seperti pembatalan notifikasi dan arahan panggil balik produk dari pasaran akan dikenakan ke atas produk yang melanggar keperluan regulatori.

Dari 2013 hingga April ini, sejumlah 47 produk kosmetik telah dibatalkan atas isu kandungan bahan terlarang seperti hyrdoquinone, tretinoin dan merkuri.

“Kementerian secara aktif menjalankan pemantauan persampelan dan pengujian produk, saringan maklumat dan formulasi produk kosmetik, audit fail maklumat produk, pemeriksaan premis pengilangan dan pemantauan iklan kosmetik termasuk media cetak, elektronik dan media sosial.

“Kita mengarahkan Biro Farmasi Kebangsaan untuk menyerbu premis-premis kecantikan menyediakan produk farmaseutikal suntikan dan krim agen pencerahan kulit secara lebih kerap.

“Juru kecantikan yang membuat botox dilarang, vitamin c atau apa jua suntikan berkaitan kesihatan dilarang di sisi undang-undang kecuali pegawai perubatan sahaja dibenarkan.

“Jika dikesan pemilik boleh didakwa di mahkamah dalam kes tertentu seperti ini dengan denda RM25,000 dan tiga tahun penjara selain premis boleh ditutup terus, setakat ini 20 peniaga telah didakwa di mahkamah,” katanya.

Dalam isu berkenaan produk kecantikan kosmetik, Subramaniam berkata, pihaknya secara berterusan giat menjalankan pemantauan terhadap platform digital yang mengiklan dan menjual produk kosmetik secara dalam talian.

Tegas Subramaniam, dari 2015 hingga Februari lalu, sebanyak 14,200 produk kosmetik yang tidak bernotifikasi bernilai RM8.5 juta telah dirampas Bahagian Penguatkuasa Farmasi.

Selain itu statistik kementerian antara 2013 hingga 2016 menunjukkan sebanyak 2,614 sampel produk kosmetik diuji dan 105 atau 4.02 peratus daripadanya gagal menepati piawaian.

Subramaniam, Ops Kosmetik

Artikel Lain