suria

SPR Sedia Beri Penjelasan Di Mahkamah

YAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya akan memberi penjelasan di mahkamah sekiranya kerajaan Pulau Pinang meneruskan hasrat memfailkan saman terhadap badan itu susulan dakwaan penemuan 'maklumat mengejutkan' tentang persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, SPR tidak akan menghalang sebaliknya melihat perkara itu jalan penyelesaian terbaik.

"Kita tidak boleh halang, ini bukan kali pertama, penjelasan akan diberi di mahkamah dan kita serah kepada mahkamah untuk buat keputusan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program #Jom Kita Daftar Undi - Singgah Mesra SPR di Kampung Ruat di sini, Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang yang merancang untuk menyaman SPR susulan dakwaan penemuan 'maklumat mengejutkan' berhubung persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri itu.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dilaporkan enggan mendedahkan maklumat tersebut.

Dalam perkembangan lain, Mohd Hashim berkata, data Daftar Pemilih pada suku keempat 2016 mencatatkan seramai 14,305,849 warganegara telah mendaftar sebagai pemilih.

Berdasarkan data Jabatan Pendaftaran Negara sehingga 4 Jan tahun ini, jumlah warganegara yang berusia 21 tahun dan ke atas ialah 18.16 juta orang, katanya.

"Ini bermakna jumlah warganegara yang belum mendaftar sebagai pengundi menurun kepada 3,858,471 orang berbanding 4.1 juta orang pada suku ketiga tahun lalu," katanya.

Tambahnya, angka 4.1 juta itu sukar untuk berganjak namun menerusi usaha-usaha yang dijalankan oleh SPR dan sokongan semua pihak telah berjaya meningkatkan kesedaran rakyat untuk mendaftar sebagai pemilih.

"SPR yakin dan percaya jumlah ini akan terus berkurangan bagi tempoh suku pertama 2017, yang sedang diproses ketika ini.

"Usaha yang dijalankan oleh SPR dengan kerjasama pihak lain termasuklah swasta dan media, akan terus meningkatkan lagi jumlah pendaftaran pemilih pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, katanya, peningkatan drastik terhadap daftar pemilih berlaku di kawasan bandar dan luar bandar memandangkan usaha mendaftar pengundi dijalankan secara serentak di seluruh negara.

"Bagaimanapun, terdapat beberapa kebimbangan SPR iaitu dari segi sikap golongan yang tidak mahu mendaftar sebagai pemilih, serta keengganan pengundi berdaftar untuk keluar mengundi, selain faktor tempat mengundi yang jauh.

"SPR berperanan memikirkan jalan terbaik bagi memudahkan pengundi berdaftar untuk mengundi, jika di negara lain ada buat perubahan besar, bawa kotak undi ke dalam kampung tetapi jika kita buat SPR akan dituduh macam-macam," katanya.

SPR

Artikel Lain