suria

Polis Lepas Tembakan, Cuba Henti Kereta Dipandu Secara Bahaya

GEORGE TOWN: Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan bagi menghalang pergerakkan sebuah kereta yang dipandu secara merbahaya di Paya Terubong dekat sini pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata dalam kejadian 11.30 pagi itu, pihak polis melepaskan tujuh das tembakan ke arah  kereta Proton Wira PFT itu yang dipandu lelaki berusia 46 tahun.

"(Sebelum itu) polis melakukan pemeriksaan ke atas suspek, namun semasa anggota kita arahkan suspek untuk memberi kerjasama bagi membuat pemeriksaan lanjut dalam keretanya, suspek terus memecut keretanya.

"Polis mengejar kereta suspek bermula dari Jalan Paya Terubong hingga ke Jalan Lengkok Tun Muhd Salleh dan semasa sampai di tepi Petronas Paya Terubong, kereta suspek turut melanggar seorang lelaki yang menunggang motosikal," katanya di sini, Sabtu.

Katanya polis terus mengejar kereta suspek sehingga ke Tingkat Paya Terubong menghala ke Majestic Height (laluan sehala), sebelum kereta suspek melanggar cermin sisi kereta orang awam yang diparkir di kawasan itu.

"Setelah sampai di lampu isyarat Simpang Jalan Paya Terubong, kereta suspek melanggar pula sebuah kereta orang awam di bahagian hadapan, namun dia masih memecut ke arah Bukit Jalan Paya Terubong," kata Mior Faridalathrash.

Beliau berkata anggota polis juga menggunakan pembesar suara dan mengarahkan suspek agar memberhentikan kenderaannya kerana dia membahayakan pengguna jalan raya lain, namun suspek tidak mengendahkannya.

Katanya akhirnya polis terpaksa melepaskan tembakan bertujuan menghalang pergerakkan kereta suspek dan bagi menyelamatkan pengguna jalan raya yang lain.

Menurut beliau suspek bagaimana pun meloloskan diri menuju kawasan Bandar Baru Farlim dan keretanya dijumpai ditinggalkan di kawasan lapang hadapan padang permainan berhampiran perumahan Desa Pertama.

"Hasil pemeriksaan awal pada kereta suspek, polis menjumpai sarung pedang sepanjang lebih kurang 0.8 meter, sekotak biji besi (bearing) dan pegawai penyiasat bersama forensik masih melakukan pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan tersebut.

"Polis telah mengenal pasti suspek yang didapati mempunyai 10 rekod jenayah lampau," katanya.

polis

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain