suria

PBR Ikrar Komited Bersama Pembangkang

PETALING JAYA: Parti Bebas Rasuah (PBR) berikrar untuk berganding bahu dengan pembangkang secara bersepadu, berterusan, menyeluruh dan sistematik jika diterima menyertai Pakatan Harapan.

Timbalan presidennya, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, komitmen itu penting bagi menjamin kemenangan secara total pada pihak pembangkang dengan niat untuk mewujudkan sebuah negara Malaysia yang paling makmur.

"Kami menaruh harapan yang amat tinggi agar permohonan ini akan dibincangkan di peringkat Majlis Presiden Pakatan Harapan seterusnya dapat menimbangkan kelulusan untuk Parti Bebas Rasuah menganggotai sebagai salah satu rakan Pakatan Harapan yang baharu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau yang mewakili parti itu telah menghantar surat permohonan secara rasmi untuk menyertai Pakatan Harapan pada Selasa.

Surat itu diterima pegawai pejabat Ketua Pembangkang di bangunan Parlimen.

Hasrat PBR untuk menjadi salah satu ahli gabungan Pakatan Harapan selepas langkah rasmi yang diambil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Khairuddin berkata, walaupun PBR adalah parti baharu, namun kepimpinan tertinggi parti yakin penyertaan dalam Pakatan Harapan akan menguatkan dan memantapkan lagi  pembangkang untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Malah kata Khairuddin, anggota PBR sudah lama berjuang di dalam arena politik tanah air.

"Keseluruhan anggota parti komited untuk terus berjuang secara habis-habisan ke arah menumbangkan kerajaan kleptokrasi," katanya.

Parti Bebas Rasuah merupakan nama baharu bagi menggantikan Parti Generasi Baru (NewGen Party).



PBR, Khairuddin, Parlimen

Artikel Lain