suria

14 Individu Didakwa Terlibat Pengubahan Wang Haram

JOHOR BARU: Sebanyak 14 individu terdiri daripada pemilik tunggal syarikat, pengarah syarikat dan rakan kongsi dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini Selasa atas 646 pertuduhan melakukan pengubahan wang haram kira-kita RM1.4 bilion sejak 2012.

Mereka mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan masing-masing dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim.

Ter Leong Jenn, 40, menghadapi 285 pertuduhan, Arus Md Salleh, 28, (135 pertuduhan), Ahmad Shah Mhd Shafie,36, (126 pertuduhan), Wong Shu Haw, 39; (68 pertuduhan), Muhammad Azuwan Ismail, 22, (enam pertuduhan) dan Noor Suhaily Harun, 27, (lima pertuduhan).

Naina Mohammad Abd Kadar, 41, dan Mohd Ali Jinnah,54, masing-masing menghadapi empat pertuduhan, Jihad Dudden Shaikh Ali Khan, 26; Sutanto Sanarja,49, dan Tajuddeen Abdul Rahim, 69, masing-masing menghadapi tiga pertuduhan, Muhammad Faizul Mohd Haniffa, 23, menghadapi dua pertuduhan manakala  Luwi Poh Li, 38; dan Tay Kim Kee, 58, masing-masing satu pertuduhan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 2012 dan 2016 di sekitar Johor Bahru dengan cara melupus, memiliki, menerima dan memindahkan wang haram bagi pihak seseorang pengirim asal kepada penerima di dalam atau luar negara.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 93 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2011 (AMLA) (Akta 613) dan Seksyen 376 (3) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda daripada jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Mahkamah menetapkan ikat jamin antara RM3 juta dan RM20,000 serta memerintahkan semua tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan 7 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Husmarudin Husin manakala  kesemua tertuduh diwakili barisan peguam Mahendran Mahason, Rosli Kamaruddin,  Shaikh Saleem SM Daud dan Pang Kong Seng. - BERNAMA

pengubahan wang haram

Artikel Lain