Hukuman Penjara 'Datuk' Ditambah Lebih Dua Kali Ganda - Semasa | mStar

Hukuman Penjara 'Datuk' Ditambah Lebih Dua Kali Ganda

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk terpaksa meringkuk lebih lama di penjara selepas Mahkamah Tinggi di sini menambah hukuman penjara ke atasnya daripada tiga tahun kepada lapan tahun.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Shariff Abu Samah membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Datuk Mohd Mustafa Mohd Khalid, 55, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman atas pertuduhan menipu seorang pengarah urusan sebuah syarikat untuk menyerahkan wang sebanyak RM1 juta.

Mohamad Shariff turut memerintahkan tertuduh membayar denda RM300,000 atau setahun penjara.

Dalam penghakimannya, katanya, mahkamah mendapati keterangan saksi-saksi pendakwaan telah secara jelas membuktikan tertuduh memperdaya mangsa untuk menyerahkan wang itu dan menyerahkan surat hasrat (LOI) yang palsu.

"Dalam mengkaji kes rayuan ini, mahkamah telah meneliti segala keterangan saksi pendakwaan dan pembelaan, dokumen dan eksibit. Mahkamah ini tidak menemui sebarang kekhilafan yang ditinggalkan Hakim Mahkamah Sesyen.

"Kes tipu merupakan satu kesalahan serius membabitkan isu kepentingan awam.

Ia juga menjejaskan imej kerajaan dan hukuman berat perlu dikenakan," kata Mohamad Shariff menurut laporan Bernama.

Pada 19 Februari 2016, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap tertuduh selepas didapati bersalah menipu Datuk Kamaludin Janis iaitu Pengarah Urusan NM Resource Sdn Bhd.

Tertuduh telah memperdaya mangsa untuk mempercayai bahawa surat LOI daripada Kementerian Kewangan bertarikh 6 Julai 2009 dengan tajuk 'Cadangan Untuk Membekalkan Sistem Pengimbas Seratus Peratus Barangan Import Untuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia Secara Sewaan' yang diberikan tertuduh kepada mangsa adalah tulen.

Lelaki itu dengan curangnya telah mendorong mangsa untuk menyerahkan wang RM1 juta kepadanya kerana mendapatkan surat tersebut untuk mangsa, yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang itu jika tidak diperdayakan sedemikian.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Seramai 25 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh dipanggil memberi keterangan sepanjang prosiding perbicaraan kes itu.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Haderiah Siri manakala tertuduh diwakili peguam Wan Shahrizal Wan Ladin.

Mohd Mustafa Mohd Khalid , Penjara

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

Artikel Lain