suria

Annuar Musa Tarik Diri, Isytihar TMJ Presiden Baharu FAM


KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa pada Khamis mengumumkan beliau menarik diri daripada merebut kerusi sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Keputusan mengejut itu sekali gus memberi ruang luas kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menang tanpa bertanding pada pemilihan Kongres FAM yang akan berlangsung pada Sabtu ini.

Annuar berkata, beliau akan terus menumpukan perhatian dalam membantu pasukan bola sepak Kelantan selain memikul tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Ketereh dan Ketua Penerangan Umno.

"Setelah berfikir secara mendalam dan menimbang semua perkara, saya membuat ketetapan untuk memberi penghormatan kepada calon yang satu lagi iaitu Tunku Mahkota Johor agar baginda diberi 'kemenangan tanpa bertanding' dan diisytiharkan sebagai presiden FAM yang baharu.

"Komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan TMJ boleh menjadi aset yang penting kepada FAM. Sokongan dan perkenan Sultan Johor juga adalah suatu penghormatan kepada bola sepak Malaysia.

"Justeru, TMJ perlu diberi peluang yang seluas-luasnya untuk melakukan sesuatu untuk bola sepak Malaysia dan mengotakan segala janji baginda," katanya pada sidang media di Parlimen pada Khamis.

Annuar berkata, ia merupakan keputusan yang dibuat beliau sendiri tanpa desakan mana-mana pihak.

Malahan beliau menolak andaian penarikan diri itu mempunyai kaitan dengan isu tajaan pasukan bola sepak Kelantan yang kini disiasat sehingga menyebabkan beliau direhatkan tugas sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Annuar turut menafikan dakwaan bahawa Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengarahkan perwakilan untuk memilih beliau sebagai presiden FAM.

"Perkara ini bukan saja tidak benar tetapi juga boleh menjejaskan hubungan FAM-KBS pada masa depan," katanya.

Menurut Annuar, harapan beliau untuk melihat permuafakatan dalam bola sepak negara dan sukan itu terus dibangunkan ke tahap lebih tinggi.

"Kepada semua perwakilan Kongres FAM Sabtu ini serta presiden gabungan FAM yang memberi sokongan kuat hingga saat ini, saya ucapkan terima kasih.

"Saya mohon maaf kerana keputusan ini tidak saya bincang dengan sesiapa pun kerana saya tidak mahu dipengaruhi sesiapa terutama mereka yang bersungguh-sungguh mahu saya bertanding," katanya.

Sebelum ini, iaitu Khairy dan pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat, turut mengumumkan untuk menarik diri daripada merebut jawatan tertinggi badan induk bola sepak negara.

Annuar Musa, TMJ, Johor, Presiden FAM

Artikel Sebelum

Artikel Lain