suria

Lima17: Najib Sempurnakan Penamaan KM Pekan Milik APMM

Najib (duduk, tengah) bersama krew KM Pekan selepas majlis penamaan aset APMM itu sempena Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA '17) Selasa. Foto: ZHAFARAN NASIB/The Star

LANGKAWI: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menamakan sebuah kapal peronda pesisir, yang merupakan aset terbaharu Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM), sebagai KM Pekan.

"Bismillahirahmanirahim...saya namakan kapal maritim ini KM Pekan. Semoga Allah merahmatinya...Amin Ya Rabal Alamin," kata beliau ketika berucap pada majlis penamaan aset APMM itu sempena Pameran Aeroangkasa danMaritim Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA '17) di sini.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sertaTimbalan Menteri Infrastruktur Darat, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun, Tanaka Ryosei selaku wakil Kerajaan Jepun.

Sementara itu, Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Seri Ahmad PuziAb Kahar berkata KM Pekan merupakan satu daripada dua kapal peronda pesisir yang dihadiahkan Kerajaan Jepun kepada APMM pada 2016.

"Kita juga telah menghantar sepasukan kru kita ke Jepun untuk membawa pulang sebuah lagi kapal sama seperti KM Pekan...ia akan tiba bulan depan,"katanya.

Ahmad Puzi berkata di samping menghadiahkan kapal peronda itu, Kerajaan Jepun turut menawarkan bantuan berjumlah RM30 juta bagi menaik taraf kemudahan kapal-kapal berkenaan.

"Kita akan naik taraf kapal ini dengan kemudahan termasuk radar yang sesuai dengan keperluan operasi di perairan negara ini," katanya.

KM Pekan, yang sepanjang 92 meter, mempunyai kelajuan 20 knot serta dilengkapi tapak pendaratan helikopter dan radar terkini.   

Kapal itu mampu melaksanakan operasi dan rondaan laut selama 30 hari di Laut Cina Selatan dan Pantai Timur Sabah selain menguat kuasa undang-undang dan melaksanakan misi di kawasan tersebut.-Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain