suria

Insiden Bagasi: Tiong Lai Minta Penjelasan MAHB

BENTONG: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai meminta penjelasan daripada pihak pengurusan lapangan terbang, Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) berhubung insiden boikot melibatkan pengendalian bagasi penumpang di Lapangan Terbang Antararabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat sehingga menjejaskan jadual penerbangan.

Tiong Lai berkata, insiden sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana kejadian berkenaan menyebabkan banyak penerbangan tertangguh dan masalah kepada pengguna.

Pada pagi Jumaat, kira-kira 50 penerbangan tertangguh ekoran masalah kekurangan staf untuk mengendalikan bagasi yang diuruskan oleh syarikat AeroDarat Services Sdn Bhd.

Syarikat itu bertanggungjawab mengendalikan bagasi penumpang melibatkan lebih 30 syarikat penerbangan.

"Saya telah mengarahkan kepada mereka (MAHB) untuk memberikan laporan," kata Tiong Lai sambil memberi amaran bahawa insiden tersebut tidak boleh lagi berulang.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas majlis pembukaan mesyuarat tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Kebangsaan Sulaiman pada Sabtu.

Pada majlis itu, Tiong Lai berkata, ibu bapa dan guru memikul tanggungjawab yang sama penting untuk membesarkan kanak-kanak.

Sebagai seorang bapa, ahli Parlimen Bentong itu berkata, beliau menerapkan semangat untuk menghargai dalam diri anak-anaknya sejak mereka masih kecil.

"Kanak-kanak perlu belajar menghargai sumbangan yang diberikan oleh ibu bapa dan guru mereka," katanya.

Pada majlis itu juga, Tiong Lai mengumumkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada pihak sekolah untuk membina dewan dan menaiktaraf kemudahan.

Liow Tiong Lai, Beg, KLIA

Artikel Lain