Jangan Panik, Wabak Selesema Burung Di Kelantan Terkawal - Semasa | mStar

Jangan Panik, Wabak Selesema Burung Di Kelantan Terkawal

Ahmad Shabery Cheek

KOTA BARU: Orang ramai diminta jangan panik dengan wabak selesema burung (virus H5N1) yang berlaku di Kelantan kerana ia masih terkawal.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pihak yang terlibat dalam menangani wabak itu telah mengambil pelbagai langkah profesional bagi mencegah penyakit itu daripada merebak ke kawasan lain.

"Setakat ini virus H5N1 dikesan hanya menjangkiti ayam kampung manakala ayam pedaging masih bebas daripada penyakit berkenaan.

"Orang ramai tidak perlu bimbang untuk menikmati ayam pedaging," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat mengenai situasi wabak tersebut di Pejabat Jabatan Perkhidmatan Viterinar Kelantan di sini, Khamis.

Virus H5N1 yang menyerang unggas dikesan di Kampung Pulau Tebu, Tunjong di sini pada 6 Mac lepas setelah beberapa ekor ayam kampung mati.

Ahmad Shabery berkata bagi keperluan Kelantan, sebanyak 70 peratus bekalan ayam pedaging diperoleh dari luar Kelantan manakala baki 30 peratus lagi diperoleh daripada pengusaha ternakan di luar kawasan yang dikesan wabak tersebut.

Beliau berkata, bekalan telur ayam (komersial) yang terdapat di pasaran negeri ini adalah 100 peratus dari luar Kelantan.

"Setakat ini, 22 kampung di enam jajahan iaitu Kota Bharu (14 kampung), Pasir Mas (4), Tumpat (1), Pasir Puteh (1), Bachok (1) dan Tanah Merah (1) dikesan ayam kampung dijangkiti virus H5N1," katanya sambil menjelaskan bukannya keseluruhan enam jajahan tersebut dikesan wabak berkenaan.

Beliau berkata, beberapa langkah pencegahan yang dilaksanakan termasuk melupuskan 28,000 ekor unggas terutama ayam setakat ini.

"Tidak semua unggas yang dilupuskan itu dijangkiti (virus H5N1) tetapi ia lebih kepada langkah pencegahan bagi mengelakkan ia (unggas itu) sebagai pembawa virus tersebut," katanya.

Beliau berkata, kerajaan mempunyai skim tertentu untuk membolehkan penternak unggas yang dilupuskan itu mendapat pampasan bagi mengurangkan beban yang ditanggung mereka.

Setakat ini, lebih 180 orang petugas daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Kesihatan, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia, sedang melaksanakan pelbagai langkah pencegahan tersebut.

"Saya akan maklumkan kepada Kabinet esok tentang keperluan lain seperti tenaga kerja, peralatan dan peruntukan sekiranya perlu ditambah dalam usaha menangani selesema burung ini," katanya.

Ahmad Shabery berkata, tiada jangkitan terhadap manusia setakat ini namun Jabatan Kesihatan dan pihak hospital telah mengambil langkah perlu dalam menanganinya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai melaporkan segera jika mendapati unggas peliharaan mereka seperti ayam dan burung mengalami simptom penyakit berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

Artikel Lain

Gadis nyaris dirogol lelaki bogel

Spurs pecat Pochettino!