suria

Pihak Berkuasa China Bantu Kenal Pasti Jong-nam

Kim Jong-nam.

KUALA LUMPUR: Identiti rakyat Korea Utara yang dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari lalu disahkan sebagai Kim Jong-nam berdasarkan data cap jari yang diperoleh dari pangkalan data pihak berkuasa China.

Rekod caj jari Jong-nam disimpan oleh pihak berkuasa di Macau selepas mendiang dan keluarganya tinggal di beberapa lokasi yang tidak didedahkan demi keselamatan mereka.

"Pengesahan menerusi pangkalan data cap jari merupakan sebahagian daripada proses dalam mengenal pasti mangsa dari segi konteks DNA. 

"Ia boleh diterima selain membuat pemeriksaan berdasarkan sampel dari tisu, rambut dan darah ahli keluarganya," kata sumber.

Difahamkan selain China, data biometrik Jong-nam juga disimpan oleh negara-negara lain berikutan kekerapan perjalanannya ke pelbagai negara, termasuk Singapura dan Jepun.

"Bagaimanapun, dalam kes ini, polis Malaysia bekerjasama dengan rakan sejawat mereka di China melalui Interpol (Polis Antarabangsa). Lebih 20 anggota dan pegawai polis dari China telah membantu dalam proses mengenal pasti Jong-nam, termasuk beberapa aspek lain," jelas sumber.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini berkata, polis telah meminta bantuan daripada Interpol bagi mengenal pasti mangsa dan menafikan bahawa sebuah pasukan dihantar ke Macau untuk mengambil sampel DNA daripada ahli keluarga Jong-nam.

Pada Jumaat lalu, beliau mengesahkan bahawa lelaki yang dibunuh di KLIA2 menggunakan agen saraf VX yang diharamkan itu adalah Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, dan menggunakan pasport di bawah nama "Kim Chol".

Kim Jong-nam

Artikel Sebelum

Artikel Lain