suria

Mayat Lelaki Ditemui Di Sungai, Dipercayai Akibat Serangan Buaya

- Gambar hiasan
KUCHING: Mayat seorang lelaki yang hilang di Sungai Undey, Pusa, di daerah Betong, kira-kira 250km dari sini pada Rabu, ditemui kira-kira pukul 10.10 pagi Khamis dengan beberapa kesan gigitan buaya.

Jurucakap bomba dalam satu kenyataan berkata mayat Besimilah Rajali, 36, ditemui kira-kira 50 meter dari tempat beliau dilaporkan hilang.

Beliau berkata mayat yang ditemui dengan kesan gigitan di bahagian tangan serta muka itu kemudiannya diserah kepada polis dan dibawa ke Hospital Betong untuk bedah siasat.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang semalam, Besimilah bersama tiga rakannya dikatakan sedang mengikat batang rumbia di sungai berhampiran Jambatan Kampung Tambak, apabila tiba-tiba Besimilah dilihat rakannya disambar buaya, sebelum terus hilang.

Operasi mencari dilancarkan oleh penduduk kampung, polis, anggota RELA, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam, namun ia ditangguhkan beberapa jam kemudian apabila hari semakin gelap.

Operasi hari ini dimulakan seawal 6 pagi, dan mayat Besimilah ditemui kira-kira empat jam kemudian.

Sungai Undey, diserang buaya

Artikel Lain