suria

KPN Sangkal Dakwaan Jong-nam Mati Diserang Sakit Jantung

Tan Sri Khalid Abu Bakar
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyangkal dakwaan Korea Utara bahawa rakyatnya, Kim Chol yang disahkan sebagai Kim Jong-nam oleh polis Malaysia kemungkinan meninggal dunia kerana serangan jantung.

Khalid berkata pakar Malaysia telah pun mengesahkan bahawa Jong-nam mati selepas dua wanita tiba-tiba menghampirinya dan menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang disembur dengan cecair beracun yang kemudian dikenal pasti sebagai agen saraf VX.

"Kita mempunyai pakar-pakar yang berkelayakan untuk menentukan punca kematian Kim Chol. Siasatan kita dan disokong oleh laporan pakar mengesahkan bahawa Kim Chol dibunuh.

"Korea Utara boleh menyatakan apa yang mereka suka tetapi fakta itu kekal," kata beliau ketika dihubungi oleh Bernama News Channel, Khamis.

Khalid berkata demikian susulan dakwaan oleh jurucakap rasmi kedutaan Korea Utara Ri Tong-il semasa sidang media pada Khamis bahawa Jong-nam meninggal dunia akibat serangan jantung dan bukan diracun.

Sementara itu, Khalid berkata tidak perlu untuk menyerahkan sampel bahan kimia yang digunakan dalam pembunuhan itu kepada Organization for the Prohibition of Chemical Weapons (OPCW).

Jong-nam mati pada 13 Februari selepas dua wanita menyapu mukanya dengan cecair beracun di KLIA2 semasa menunggu untuk menaiki penetrbangabn ke Macau.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain