suria

Cuepacs Bantah Johor Tubuh SPBT

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membantah cadangan kerajaan negeri Johor yang mahu menubuhkan Suruhanjaya Pihak Berkuasa Tempatan (SPBT) dan berharap hasrat itu tidak menjadi kenyataan.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata, cadangan tersebut, jika dilaksanakan bakal menghuru-harakan sistem pentadbiran dalam PBT, selain bercanggah dengan undang-undang dalam perlembagaan Persekutuan.

"Jika kerajaan negeri Johor berhasrat menubuhkan SPBT sendiri dengan membelakangkan undang-undang negara, kami membantah cadangan tersebut.

"Kami menganggap cadangan ini satu diskriminasi yang akan berlaku kepada pekerja-pekerja PBT," katanya pada sidang media di pejabat Cuepacs di sini, Isnin.

Beliau mengulas cadangan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Johor Datuk Abd Latif Bandi yang berkata SPBT di peringkat negeri akan ditubuhkan bagi meningkatkan pencapaian dan produktiviti kakitangannya.

Abd Latif berkata cadangan itu selaras dengan cadangan kerajaan Persekutuan yang pernah mengutarakan perkara sama sebelum ini.

Menurut Azih, cadangan itu jelas melanggar Akta Kerajaan Tempatan 1976, (Akta 171) yang memperuntukkan bahawa mesyuarat yang dihadiri 25 ahli majlis akan menentukan wujudnya jawatankuasa atau suruhanjaya melantik dalam PBT itu sendiri.

"Kami kesal kerana kerajaan Johor mendahului tindakan dan keputusan kerajaan Persekutuan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Sepatutnya beliau tak boleh keluarkan kenyataan ini kerana di peringkat kementerian pun belum dapat satu kata putus ," katanya sambil menambah Cuepacs akan membawa perkara ini ke mahkamah jika ia dilaksanakan.

Beliau menegaskan, penubuhan SPBT juga tidak akan menyelesaikan sebarang masalah, malah menyatakan bahawa kerajaan telah pun menangani isu-isu yang timbul dalam perjawatan PBT seperti kenaikan pangkat dan laluan kerjaya.

Katanya, ekoran cadangan tersebut ramai kakitangan PBT khususnya yang sedang berkhidmat di Johor keliru, tidak senang dan bimbang dengan kedudukan masing-masing.

"Kita tak nampak cadangan ini rasional atau relevan, apa yang ada hari ini sudah mencukupi, jangan kita nak menghuru-harakan sistem pentadbiran sekarang," tegasnya.

Jelasnya, cadangan yang sama di peringkat Persekutuan pernah dikemukakan pada 2009 tetapi tidak dapat diteruskan kerana banyak isu berbangkit dan Cuepacs sendiri telah menyatakan bantahan.

Malah katanya, dalam mesyuarat terbaharu dengan KPKT pada 21 Februari lalu mengenai perkara ini, tiada sebarang keputusan dibuat.

"Kita terkejut apabila esoknya (22 Februari) Johor mengumumkan penubuhan SPBT negeri dan Cuepacs harap cadangan itu tak serius dan tak jadi kenyataan," katanya.

Mengenai kesan jika SPBT dilaksanakan, Azih berkata, ia akan menyaksikan banyak pertukaran atau pemindahan pekerja yang mungkin berasaskan kehendak politik.

Malah beliau turut menolak matlamat penubuhan SPBT yang mahu meningkatkan produktiviti dan pencapaian pekerja.

"Tak ada kaitan sedikit pun dengan produktiviti, kalau mahu pencapaian bukan dengan tubuhkan SPBT.

"Saya lihat ia hanya akan menyebabkan kemurungan, menjejaskan prestasi dan motivasi pekerja," katanya.

Katanya setakat ini terdapat sebanyak 16 PBT di Johor melibatkan 5,000 pekerja dan 154 PBT di seluruh negara.
Azih Muda, Cuepacs, SPBT, Johor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain