suria

Bekas KSU Mosti Kekal Bebas 10 Tuduhan Rasuah

Bekas Ketua Setiausaha Mosti, Datuk Abdul Hanan Alang Endut, 65, kekal bebas daripada 10 pertuduhan rasuah membabitkan 59,390.60 selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan yang dikemukakan pihak pendakwaan di Kompleks Mahkamah Shah Alam, Isnin. Dia hadir bersama isterinya Datin Norihan Ahmad (kanan).

SHAH ALAM: Kelegaan jelas terpancar di wajah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Abdul Hanan Alang Endut selepas Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan pembebasan beliau daripada 10 pertuduhan rasuah membabitkan RM59,390.60.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman memutuskan demikian selepas mengetepikan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di sini pada 30 Mac 2012, yang melepas dan membebaskan Abdul Hanan, 65, daripada kesemua pertuduhan itu tanpa perlu dipanggil membela diri.

Dalam penghakiman ringkasnya, hakim Abdul Halim berkata beliau berpuas hati dengan kedapatan hakim Mahkamah Sesyen yang berlandaskan prinsip undang-undang dan justeru beliau berpendapat keputusan hakim itu wajar dikekalkan.

Katanya hakim Mahkamah Sesyen juga jelas telah memberi penekanan dan pertimbangan sewajarnya terhadap fakta-fakta yang diberi sepanjang perbicaraan kes itu.

Selain itu, beliau berkata keputusan yang dibuat hari ini adalah berasaskan kepada beberapa faktor antaranya elemen-elemen di bawah kesemua pertuduhan telah gagal dibuktikan oleh pihak pendakwaan sepenuhnya.

"Keterangan saksi utama pendakwaan, iaitu saksi ke-14 (Adam Omar) dan keterangan responden (Abdul Hanan) dalam kenyataan beramarannya begitu konsisten tentang status pemberian dan penerimaan cek-cek berkenaan.

"Adam jelas beritahu bahawa cek terbabit adalah satu pinjaman yang dijanji akan dibayar semula selepas responden terima gratuiti. Perkara ini diakui sendiri oleh pegawai penyiasat yang merakam percakapan Adam serta responden yang menunjukkan semua cek adalah sebagai pinjaman kepada sahabat tanpa faedah.

"Pinjaman itu juga adalah satu pinjaman secara bona fide, bukan untuk tujuan lain khususnya rasuah," katanya.

Secara keseluruhannya, hakim Abdul Halim berpendapat rayuan pihak pendakwaan tiada merit serta ditolak dan responden (Abdul Hanan) dibebaskan daripada kesemua pertuduhan.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Abdul Hanan yang ditemani isterinya Datin Norihan Ahmad bersyukur terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepadanya.

"Lega dah berakhir... apa yang berlaku seterusnya saya tidak tahu," katanya ringkas.

Abdul Hanan didakwa menerima suapan itu di Jalan 17/21 Seksyen 17 Petaling Jaya dari 1 hingga 15 Disember 2008 dalam bentuk beberapa cek kosong (tanpa jumlah dan tarikh) United Overseas Bank milik Adam Omar sebagai ganjaran kerana meluluskan permohonan dana oleh Global Goodway (M) Sdn Bhd.

Dia kemudian didakwa telah menunaikan cek-cek itu yang diterimanya dari 15 Disember 2008 hingga 27 Februari 2009 bagi tujuan pembaikan rumah berjumlah RM15,024, pembayaran zakat pendapatan berjumlah RM25,000, kad kredit berjumlah RM9,275, cukai taksiran bagi tiga premis sebanyak RM1,542.60, cukai tanah di Mukim Sungai Raya sebanyak RM15 dan mendepositkan RM8,000 ke dalam akaun isterinya.

Abdul Hanan didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997, yang boleh dihukum menurut Seksyen 16 Akta yang sama, di mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Beliau diwakili peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah sementara Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Hazirah Azeman hadir bagi pihak Timbalan Pendakwa Raya Afifah Yusof.-- Bernama


Mosti, Abdul Hanan Alang Endut

Artikel Lain