suria

Kes Jong-nam: Korea Utara Tuntut Kerjasama Pihak Berkuasa Malaysia

Kang Chol pada sidang media di pejabat Kedutaan Korea Utara di Bukit Damansara, Isnin.

KUALA LUMPUR: Korea Utara menuntut kerjasama pihak berkuasa Malaysia untuk bergandingan dalam menjalankan siasatan berhubung kematian seorang warganegaranya, minggu lalu.

Duta Besar Korea Utara di Malaysia, Kang Chol berkata, pihaknya mahu mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kematian lelaki berkenaan yang dinamakan sebagai Kim Chol.

Katanya, Korea Utara juga sedia menghantar pasukan siasatannya jika Malaysia bersetuju dengan cadangan ini.

"Jika Malaysia bersetuju dengan cadangan ini, kami akan hantar delegasi peguam untuk mengesahkan kejadian ini melalui siasatan bersama dengan polis Malaysia," katanya pada sidang media di Kedutaan Besar Korea Utara di sini, Isnin.

Kang Chol berkata cadangan itu dibuat selepas terlalu banyak persoalan dan percanggahan timbul daripada siasatan yang dijalankan.

Menurutnya, Korea Utara mempunyai hak untuk memohon hasil siasatan, khususnya berkaitan dengan dakwaan bagaimana pembunuhan telah berlaku kerana
 mangsa berasal dari negara itu.

"Terdapat dakwaan bahawa suspek wanita yang ditahan telah membunuhnya dengan menggunakan jarum beracun atau menekup mukanya dengan bahan kimia.

"Kami mendesak untuk berjumpa dengan suspek bagi mengetahui kebenarannya," kata Kang Chol.

Dalam pada itu beliau turut mendakwa polis Malaysia lebih memberi perhatian untuk mengenal pasti si mati menggunakan nama yang didakwa oleh pihak yang memusuhi Korea Utara, iaitu Korea Selatan.

Tindakan polis yang menetapkan kehadiran waris untuk mengenal pasti identiti dan ujian DNA pula didakwa sebagai melewatkan penyerahan mayat.

Pada Jumaat, Kang Chol dalam satu sidang akhbar telah memberi gambaran bahawa kerajaan Malaysia mempunyai 'sesuatu untuk disembunyikan' dan mendakwa Malaysia 'berpakat dan bersekongkol dengan kuasa-kuasa luar' dalam pengendalian kes kematian seorang warga Korea Utara pada 13 Februari lalu.

Korea Utara, Kang Chol, Jong-nam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain