suria

Pekebun Cedera Tertembak Diri Sendiri Di Marudi

MIRI: Seorang pekebun cedera apabila senapang patah yang dibawanya terjatuh lalu tertembak mengenainya selepas mangsa tergelincir semasa dalam perjalanan pulang dari kebunnya di Beluru, Marudi petang Sabtu.

Ketua Polis Marudi Deputi Superitendan Gabriel Risut berkata, dalam kejadian pada 6.30 petang, mangsa berumur 58 tahun itu cedera di rusuk kiri belakang, bahu dan lengan kiri akibat kesan tembakan tersebut dan kini menerima rawatan di Hospital Miri.

"Mangsa yang berasal dari Rumah Panjang Buddy Sungai Selepin Tengah, Beluru Marudi kini berada dalam keadaan stabil," katanya ketika dihubungi, Ahad.

Beliau berkata siasatan awal mendapati senapang patah itu merupakan milik bapa mangsa yang telah meninggal dunia dan belum dipindah hak milik.

Susulan itu, sepasukan polis telah pergi ke kediaman mangsa pagi tadi untuk merampas senapang patah jenis 12 Bore, Winchester yang digunakan mangsa, katanya.

Gabriel berkata berikutan kejadian itu juga, satu operas pemeriksaan ke atas pemilik senjata api berlesen akan dilakukan di Marudi berkuat kuasa serta-merta bagi mengelak kejadian sama berulang.

"Tindakan undang-undang akan diambil sekiranya pemilik memiliki senjata api yang tidak berlesen atau yang belum dipindah hak milik," katanya.-- Bernama


Marudi, Beluru

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain