suria

Tragedi Basikal: Pemandu Tidak Guna Telefon Bimbit - Polis

JOHOR BAHRU: Polis menafikan dakwaan kononnya wanita yang merempuh sekumpulan remaja lelaki berbasikal sehingga lapan dari mereka maut di Jalan Lingkaran Dalam dekat sini, awal pagi Sabtu, menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata siasatan telah dilakukan dan tiada elemen sedemikian ditemukan.

"Jika dia (mangsa terselamat) nampak, minta tampil beri statement (keterangan) pada polis," katanya kepada Bernama, ketika dihubungi di sini.

Beliau diminta menggulas beberapa dakwaan oleh mangsa-mangsa terselamat dalam kejadian tersebut, yang memberitahu wanita berusia 22 tahun itu kononnya bermain telefon ketika sedang memandu.

Sulaiman juga meminta orang ramai tidak mengeluarkan kenyataan tanpa sebarang maklumat sahih berhubung kejadian berkenaan.

Menurut Sulaiman, wanita itu yang merupakan seorang jurujual baharu sahaja pulang dari rumah kawannya ketika kejadian.

Dalam kejadian 3 pagi itu, lapan remaja lelaki dilaporkan maut setelah dirempuh kereta yang dipandu wanita berkenaan, mengakibatkan empat lagi patah kaki, dua orang tidak stabil berikutan pendarahan dalam otak dan seorang pula luka di kepala dan seorang lagi cedera di pinggul.

Kejadian berlaku ketika kumpulan remaja berkenaan sedang berbasikal menuju ke Dataran Bandaraya Johor Bahru dan dipercayai menghalang Jalan Lingkaran Dalam, bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah di sini.

Menurut Sulaiman, tindakan mereka itu menyebabkan wanita itu tidak sempat mengelak lalu melanggar kumpulan berkenaan.

Tragedi Basikal

Artikel Berikut

Artikel Lain