suria

SSPN-i, SSPN-i Plus Umum Dividen 4 Peratus

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada Isnin mengumumkan kadar dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) meliputi skim simpanan SSPN-i dan SSPN-i Plus bagi tahun 2016 sebanyak empat peratus.

Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, pembayaran dividen itu membabitkan peruntukan sebanyak RM76.74 juta yang akan memberi manfaat kepada lebih 2.6 juta pendeposit skim tersebut.

Shamsul berkata walaupun 2016 merupakan tahun mencabar kepada semua pihak, PTPTN masih berupaya mengekalkan kadar dividen SSPN-i dan SSPN-i Plus yang diberikan pada tahun lalu.

Ujar beliau, pemberian kadar dividen yang kompetitif ini diharap menjadikan SSPN-i dan SSPN-i Plus lebih berdaya saing dan menarik lebih banyak pembukaan akaun serta penambahan deposit dalam kalangan masyarakat.

"Kadar empat peratus dividen bagi skim tersebut pada 2016 adalah berdasarkan kepada pulangan bersih pelaburan yang telah dibuat atas deposit yang diterima PTPTN.

"Pulangan dividen tersebut akan dimasukkan secara terus ke akaun bank pendeposit pada bulan ini," katanya pada sidang media pengumuman pengagihan dividen pendeposit SSPN bagi tahun 2016.

Dalam pada itu, Shamsul menjelaskan, SSPN-i mencatatkan jumlah deposit sebanyak lebih RM2.6 bilion dengan 2.7 juta akaun sejak diperkenalkan pada 2004 hingga 31 Disember 2016.

Bagi SSPN-i Plus pula, beliau berkata sejak dilancarkan pada 8 Jun 2015, sebanyak 52,615 akaun dibuka membabitkan deposit terkumpul RM15.8 juta (RM19.9 juta termasuk takaful) dengan jumlah manfaat perlindungan takaful sehingga RM2.3 bilion sehingga 31 Disember lalu.

"PTPTN berjaya melepasi sasaran tahunan 2016 (RM400 juta) bagi penabungan SSPN-i dan SSPN-i Plus. Prestasi penabungan dua skim tersebut meningkat sehingga RM544.49 juta pada 2016 berbanding RM498.61 juta pada 2015.

"Ini menunjukkan bahawa terdapat kesedaran untuk menabung bagi tujuan pendidikan tinggi dalam kalangan masyarakat," katanya.

Ditanya mengenai sasaran bagi tahun ini, Shamsul berkata PTPTN mensasarkan kutipan deposit sebanyak RM550 juta dengan penambahan pembukaan kira-kira 350 ribu akaun baharu.

"Kita harap lebih ramai menabung dalam skim ini kerana keunikan produk simpanan ini bukan terletak pada dividen semata-mata tetapi ia turut menyediakan pelbagai keistimewaan yang akan dinikmati pendeposit," katanya.

Shamsul berkata beliau yakin SSPN-i Plus khususnya akan menjadi simpanan pilihan rakyat Malaysia kerana ia menawarkan enam pakej simpanan dengan komitmen bulanan serendah RM30 dengan pendeposit akan menerima manfaat perlindungan takaful yang komprehensif.

"Manfaat takaful yang akan dinikmati adalah manfaat bagi kematian atau ilat kekal menyeluruh akibat kemalangan, manfaat bagi 36 penyakit kritikal, elaun harian kemasukan hospital, khairat kematian kepada pendeposit, pasangan dan maksimum tiga anak dan perlindungan 24 jam di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata, pendeposit SSPN-i Plus juga layak menyertai Cabutan Wow! SSPN-i Plus jika membuat simpanan RM50 dalam tempoh promosi sehingga 30 Jun ini.

"Lebih 300 hadiah bernilai RM1.5 juta disediakan untuk pendeposit SSPN-i Plus dengan hadiah utama berupaya kereta Proton Perdana," katanya.

Shamsul berkata, pembukaan akaun SSPN-i Plus amat mudah dilakukan kerana tiada dokumen sokongan diperlukan dan mereka yang berminat,  boleh datang ke kaunter PTPTN berhampiran di seluruh negeri.

"Skim ini wajar dimiliki setiap isi rumah kerana ia menawarkan pelbagai manfaat selain mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan semata-mata," katanya.

SSPN, PTPTN

Artikel Berikut

Artikel Lain