suria

Kawasan Rekreasi Belukar Bukit Akan Dibuka Semula Kepada Orang Ramai

Kawasan perkelahan Belukar Bukit.

HULU TERENGGANU: Kawasan perkelahan Belukar Bukit di sini yang ditutup atas sebab-sebab keselamatan sejak lebih setahun lalu akan dibuka semula kepada orang ramai tidak lama lagi, kata seorang anggota exco negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata sebagai permulaan, bagi mengembalikan semula keyakinan orang ramai untuk terus berkelah di situ, satu latihan operasi menyelamat telah diadakan oleh pasukan bomba.

"Hasil perbincangan dengan pihak bomba dan pasukan bomba sukarela Bukit Bading, mereka menyatakan kesediaan untuk membantu mengawasi keselamatan pengunjung di kawasan perkelahan itu.

"Bagaimanapun, pengunjung yang mahu berkelah dalam tempoh yang lama perlu memaklumkan kedatangan mereka kepada pihak berkuasa seperti Pejabat Daerah Hulu Terengganu, polis atau bomba untuk memudahkan pemantauan dilakukan," katanya.

Ghazali yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Ajil berkata kerajaan negeri pada dasarnya bersetuju menjadikan Belukar Bukit sebagai pusat latihan untuk jabatan dan agensi keselamatan di Terengganu.

"Dahulu Belukar Bukit sangat terkenal dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong luar untuk berkelah di sini, terutama pada hujung minggu.

"Namun disebabkan tragedi kes lemas terutama yang melibatkan kematian lima sekeluarga pada Dis 2015, kerajaan negeri mengambil langkah drastik menutup sementara Belukar Bukit ini bagi membolehkan pihak bertanggungjawab mengambil langkah keselamatan yang sesuai," kata Ghazali.

Beliau berkata, ketika Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman melawat Belukar Bukit susulan kes lemas itu, beliau bersetuju untuk menaik taraf kawasan ini agar dijadikan lokasi pelancongan di Hulu Terengganu.

"Namun pelaksanaannya perlu ditangguhkan sehingga masa yang sesuai bergantung kepada keupayaan kewangan kerajaan negeri," katanya. - BERNAMA


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain