suria

Sambutan Tahun Baharu Cina Di Masjid Bangsar Meriah

Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, Datuk Ibrahim Thambychik (dua, kanan) beramah mesra dengan tetamu yang hadir ke Program Ramah Mesra Tahun Baru Cina yang diadakan di masjid itu, Sabtu. Turut kelihatan Presiden Persatuan Penduduk Bangsar Baru Datuk George Joseph (tiga, kiri). -fotoTHESTAR/AzharMahfof
KUALA LUMPUR: Tidak mustahil lagi untuk rendang, ketupat dan nasi minyak dihidang pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina, kerana ia kini sudah jadi realiti.

Namun, limau Mandarin yang menjadi simbol utama perayaan ini tetap jadi penyeri meja tetamu yang hadir dalam Program Ramah Mesra Tahun Baharu Cina yang diadakan di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq (Saba), Bangsar, Sabtu.

Jika selama ini orang bukan Islam sekadar melihat masjid popular ini dari luar, sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini mungkin memberi pengertian lebih besar kepada semua kerana gerbang masjid dibuka seluas-luasnya untuk menyambut kehadiran sesiapa sahaja sebagai tetamu.

Seperti majlis rumah terbuka Aidilfitri, Deepavali atau Krismas, mereka duduk semeja menikmati aneka makanan masyarakat Malaysia yang dihidangkan, berbual mesra, bergurau senda, malah tidak lupa mengambil gambar kenangan sebelum pulang.


Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Saba, Datuk Ibrahim Thambychik berkata program kali ini telah mencatat sejarah apabila sebuah masjid menganjurkan satu majlis untuk meraikan perayaan yang disambut oleh kaum dan agama lain.


"Orang Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa sudah lama tinggal di Bangsar yang kini sudah jadi kawasan kosmopolitan, tapi suasananya tetap harmoni.

"Waktu tengah malam kita sama-sama makan di restoran Pelita dan Mahbub, waktu ibadat kawasan kuil dan masjid di sini jadi sesak, tapi tiada siapa pun yang bergaduh atau cetuskan masalah," katanya ketika ditemui di majlis ini.

Ibrahim berkata pemilihan masjid sebagai lokasi dilihat sesuai dan selaras dengan sejarah Islam di mana institusi ini mempunyai pelbagai fungsi, tidak terhad kepada tempat ibadat semata-mata.

"Untuk majlis ini, masjid berfungsi sebagai pusat sosial dan kita mahu orang bukan Islam tahu bahawa semua orang boleh datang ke masjid, tengok atau turut serta dalam aktiviti yang dilakukan," katanya sambil menambah program ini akan dijadikan program tahunan.

Presiden Persatuan Penduduk Bangsar Baru Datuk George Joseph berkata majlis ini telah berjaya 'membuka mata' masyarakat untuk lebih mengeratkan hubungan sesama manusia tanpa mengira kaum dan agama.

Katanya, keamanan dan keharmonian di Malaysia wajar dikekalkan, sekali gus dapat menjadi contoh kepada seluruh dunia.

"Semasa musim perayaan, apa salahnya kita berkunjung ke rumah rakan-rakan yang berbeza agama.

"Walau hanya minum segelas air, yang penting hubungan mesra dapat dikekalkan," katanya.



Seorang tetamu, Shah Kirit Kakulal Govindji berpandangan majlis seperti ini sepatutnya telah lama diadakan, dengan melibatkan lebih banyak pusat-pusat ibadat di seluruh Malaysia.

Bagaimanapun beliau tetap gembira kerana Masjid Saba sedar akan kepentingan program-program seumpama ini dianjurkan.

Seorang mualaf, Mohd Willieuddin Lim yang pernah tinggal di Bangsar dan mengikuti kelas agama di masjid ini berkata program ini mampu menerangkan kepada orang ramai tentang keterbukaan Islam.

"Sehingga sekarang saya masih sambut Tahun Baru Cina, berkumpul dengan ahli keluarga lain, tetapi saya tak pernah lupakan agama saya iaitu Islam," katanya.

Penyanyi, Shila Lama yang turut hadir memeriahkan majlis berkata perbezaan agama, budaya, adat dan perayaan tidak seharusnya menjadi penghalang untuk menjalin hubungan baik sesama kaum.

"Apabila hidup dalam masyarakat berbilang kaum dalam satu negara, kita perlu membina jambatan, bukan tembok pemisah," katanya.

Ketua Pentadbir Masjid Saba Mohd Bukhari Haliah berkata idea menganjurkan program ini tercetus selepas melihat ramai penduduk di sekitar masjid terdiri daripada masyarakat bukan Melayu.

"Itu tak bermakna kita tak boleh meraikan semua bangsa, sebab itu kita adakan majlis ini," katanya sambil menyifatkan sambutan daripada tetamu jemputan dan penduduk sekitar adalah memberangsangkan.

Artikel Berikut

Artikel Lain