suria

Sanggup Reka Cerita Diculik Sebab Takut Dimarahi

GAMBAR HIASAN

SHAH ALAM: Dakwaan seorang kanak-kanak kononnya dia cuba diculik berhampiran rumahnya di Kampung Endah, Banting dekat sini, awal pagi Selasa adalah rekaan semata-mata.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata kanak-kanak berusia 11 tahun itu sengaja mereka cerita kononnya cuba diculik oleh sekumpulan lelaki kerana takut dimarahi bapanya ekoran pulang lewat ke rumah.

"Ketika keterangannya diambil semalam, mangsa menyatakan dia takut dimarahi pengadu (bapa mangsa) kerana lewat balik ke rumah.

"Oleh itu, kanak-kanak tersebut mereka cerita kononnya tiga lelaki bertopeng cuba menariknya masuk ke dalam van sebelum mangsa berjaya melepaskan diri dengan menggigit tangan seorang daripada suspek," katanya dalam satu kenyataan di sini seperti dilaporkan Bernama pada Rabu. 

Pada Selasa, Ketua Polis Selangor Datuk Seri Abdul Samah Mat mengesahkan pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian cubaan culik seorang kanak-kanak di Banting.

Abdul Samah berkata laporan polis mengenai kejadian itu dibuat bapa kanak-kanak tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat sejurus selepas mangsa pulang ke rumah kira-kira pukul 1.30 pagi.

Kes cubaan culik kanak-kanak itu turut menjadi tular dalam aplikasi WhatsApp semalam.

Culik

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain