suria

Bot Karam: 20 Pelancong China Terselamat Alami Dehidrasi Teruk

Mangsa bot karam yang terselamat dikejarkan ke hospital untuk menjalani rawatan.

KOTA KINABALU: Dua puluh pelancong warga China yang berjaya diselamatkan dalam kejadian bot karam pada Sabtu kini sedang menjalani rawatan.

Semua mangsa yang terselamat ditemui dalam keadaan letih dan mengalami selaran matahari yang teruk.

Mereka dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth sebaik tiba dari jeti Polis Marin di sini pada kira-kira pukul 2 pagi, Isnin.

Mereka berjaya diselamatkan nelayan pada kira-kira pukul 6 petang, Ahad.

Bagaimanapun, tiga daripada pelancong warga asing itu terkorban.

Tekong dan kru bot pelancong yang diselamatkan pada kira-kira pukul 2 petang, Ahad berdekatan Pulau Tiga tiba di sini lebih awal.

Setakat ini, enam lagi masih dilaporkan hilang. Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan pagi Isnin.

Bot pelancong itu karam sebaik berlepas dari jeti Tanjung Aru untuk ke Pulau Mengalum pada pukul 9 pagi, Sabtu.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kulit mangsa begitu sensitif dan kering yang melampau.

Beliau yang menaiki bot nelayan untuk memeriksa keadaan mangsa turut memberikan kemejanya kepada salah seorang mangsa yang kesejukan.

"Ada mangsa yang terselamat memberitahu, kali terakhir melihat enam yang masih hilang itu, seorang daripadannya tidak sedarkan diri," katanya.

Beliau berkata, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) menambah dua lagi pesawat iaitu Bombardier dan helikopter untuk membantu usaha mencari dan menyelamat.

Turut hadir di jeti adalah Konsul Jeneral China di Sabah, Chen Peiji dan Timbalan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Pang Yuk Ming.

China, APMM, Pulau Mengalum

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain