suria

Dua Lagi Mayat Bot Karam Di Mersing Ditemui

(APM) mengangkat mayat warga asing yang ditemui terdampar di pantai dalam kejadian bot karam di perairan Tanjung Rhu pada Selasa. - foto NABILA AHMAD

MERSING: Dua lagi mayat ditemukan pada Selasa, menjadikan 12 orang angka korban bot karam di perairan Tanjung Rhu di sini Isnin.

Ketua Polis Daerah Mersing, DSP Cyril Edward Nuing berkata setakat 12 tengah hari Selasa, mayat dua lelaki tanpa dokumen diri itu ditemukan terdampar oleh pasukan mencari dan menyelamat di pantai Tanjung Leman di sini.

Katanya operasi mencari dan menyelamat yang terdiri daripada anggota polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula pada pukul 8 pagi selepas dihentikan berikutan hujan dan ombak kuat, petang Isnin.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi Isnin, bot pancung dipercayai dinaiki 40 orang dari Batam, Indonesia cuba masuk ke negara ini sebelum karam akibat dipukul ombak kuat.

Mayat 10 warga asing melibatkan empat lelaki dan enam wanita dijumpai terdampar di pantai berkenaan semalam bagaimanapun dua mangsa ditemui selamat iaitu seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 28 dan 20 tahun. - BERNAMA

bot karam, Mersing

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain