suria

Siasatan Lanjut Tentukan Tempat Asal Gading Dirampas

Gambar hiasan.

KOTA KINABALU: Siasatan perlu dijalankan bagi menentukan sama ada gading gajah yang dirampas pihak berkuasa Indonesia di Nunukan (Kalimantan Utara) minggu lepas milik dua gajah pigmi yang dibunuh di Sabah Disember tahun lepas.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) Augustine Tuuga berkata ini dapat ditentukan dengan mendapatkan keterangan daripada orang yang membawa gading tersebut atau dijalankan analisis DNA ke atas gading itu dan dibandingkan dengan spesimen gajah yang dibunuh itu.

"Kita telah hubungi pihak berkuasa Indonesia...Kita tunggu hasil siasatan mereka," kata beliau dalam satu kenyataan di sini Sabtu.

Beliau mengulas laporan media Indonesia bahawa pegawainya telah menahan seorang wanita yang membawa lima gading gajah minggu lepas.

Laporan itu berkata gading itu dipercayai dibawa dari Malaysia.

Pegawai Stesen Kastam, Imigresen dan Kuarantina di Nunukan bagaimanapun membebaskan wanita itu dan gading bernilai Rp 100 juta (RM33,200) dirampas dan dihantar ke pihak berkenaan di Tarakan.

Bulan lepas, Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Pusat Luar Danau Girang menemui dua rangka gajah, terpisah 1.5 kilometer antara satu sama lain, selepas disembelih untuk mendapatkan gadingnya dalam hutan simpan di Kinabatangan.

Kerajaan menawarkan hadiah RM10,000 kepada mereka yang dapat membantu jabatan itu menangkap orang yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain