suria

'Geng Turbo' Aktif Curi Kenderaan Di Ampang Tumpas

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan 'Geng Turbo' yang aktif melakukan kegiatan curi kenderaan di sekitar Ampang, dengan tertangkapnya lima remaja di sebuah kondominium di Setapak di sini, Jumaat.

Dalam operasi bermula 3.30 petang itu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan dua lelaki dan tiga wanita berusia 19 hingga 21 tahun.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Hamzah Alias berkata pihaknya merampas lapan kenderaan curi yang diletakkan di sekitar kondominium itu serta di sebuah taman di Cheras.

"Polis turut menemui pelbagai peralatan seperti spanar yang telah diubah suai dipercayai digunakan untuk mencuri kenderaan serta aksesori kenderaan.

Kumpulan ini aktif sejak awal tahun ini," katanya pada sidang media di IPD Ampang Jaya di sini, Sabtu.

Sasaran kumpulan itu ialah kereta lama dengan enjin yang telah diubah suai kerana komponennya mendapat permintaan yang tinggi termasuk untuk pasaran di Pantai Timur.

Kesemua suspek direman empat hari sehingga Isnin dan kes disiasat mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana mencuri. - BERNAMA

Geng Turbo, Ampang, PDRM

Artikel Lain