suria

SPRM Tahan Penolong Jurutera Kanan Disyaki Terima Rasuah

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seorang penolong jurutera kanan kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan kuasa serta rasuah.

Suspek berusia 56 tahun yang ditahan di kediamannya di Kampung Sungai Daun, Alor Setar kira-kira jam 11.30 pagi Rabu dipercayai telah menerima wang rasuah daripada kontraktor-kontraktor melibatkan lebih 30 projek penyelenggaraan dan naik taraf jalan sejak tahun 2012 di Daerah Sik, Kedah.

Sumber berkata, SPRM dalam proses mengumpul maklumat daripada kontraktor-kontraktor kroni yang dipercayai telah dipaksa untuk memberi wang suapan kepada suspek sekiranya ingin mendapat tawaran kerja daripada suspek.

Katanya, SPRM juga sedang menyiasat jumlah wang suapan yang telah diterima oleh suspek dan dipercayai melibatkan  enam kontraktor negeri itu sejak mula memegang jawatan tersebut empat tahun lalu.

Difahamkan, suspek akan menghubungi dan meminta rasuah daripada kontraktor-kontraktor yang ditawarkan projek menerusi aplikasi Whatsapp atau khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi menetapkan jumlah, lokasi dan waktu untuk menyerahkan wang rasuah setelah syarikat mereka dilantik menerusi permohonan sebut harga.

Jelas sumber, sekiranya kontraktor-kontraktor berkenaan enggan membayar wang rasuah yang diminta, suspek bukan setakat tidak akan mengeluarkan inden kerja malah akan menyenarai hitamkan kontraktor tersebut.

Kata sumber lagi, kesemua pembayaran rasuah kepada suspek akan diberi secara tunai dan dilakukan sama ada di rumah, pejabat atau di dalam kenderaan milik suspek.

Tambah sumber, untuk 2016 sahaja, suspek dipercayai telah menyerahkan sebanyak 28 projek kepada tujuh orang kontraktor yang mempunyai kepentingan dan dipercayai telah menerima wang rasuah bernilai kira-kira RM650,000.

Menurut sumber, SPRM telah menyita fail-fail sebut harga bagi projek kerja  ini ketika melakukan penggeledahan di pejabat suspek pada jam 8.30 pagi ini.Seramai 12 individu termasuk isteri suspek, dua juruteknik, kakitangan jabatan berkenaan serta tujuh orang kontraktor turut dipanggil rakaman percakapan bagi membantu siasatan.

Tambah sumber, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. 

Seksyen 17(a) ASPRM 2009 memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana lebih tinggi.Bagi AMLATFPUAA 2001 pula, akta tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd. Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata pihaknya akan menyiasat sama ada individu lain juga terlibat dalam perbuatan itu.

Beliau meminta pegawai atasan dari peringkat pusat untuk membuat pemantauan dari semasa ke semasa di daerah-daerah kecil bagi mengelakkan timbul isu salah guna kuasa oleh pegawai.

Suspek dijangka akan direman di Mahkamah Alor Setar pada Khamis.

SPRM, Pen Jurutera Kanan, SPRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain