suria

Enam Lelaki Disyaki Buat Bom Ditahan

KOTA BARU: Enam lelaki berusia antara 30 dan 40an ditahan, disyaki terbabit dalam membuat bom dalam beberapa serbuan polis di Pasir Mas pada Ahad.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata kesemua suspek ditahan di rumah masing-masing dalam serbuan bermula pukul 4 pagi.

"Serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota polis selepas mendapat maklumat daripada orang ramai dan siasatan awal polis menemui beberapa peralatan termasuk wayar dan bateri dipercayai untuk membuat bom," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini.

Ab Rahman berkata polis akan melakukan siasatan lebih mendalam ke atas suspek terbabit kerana dipercayai kes itu ada kaitan dengan ancaman keselamatan negara.

Beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek ada kaitan dengan kegiatan militan Daesh.

"Pada tahun lalu, seramai lapan suspek dipercayai ada kaitan dengan kegiatan Daesh ditahan oleh polis Kelantan. Semua yang ditahan adalah hasil serbuan di Kuala Krai, Tanah Merah serta Kota Bharu," katanya.

Sementara itu, Ab Rahman berkata polis sedang memburu seorang suspek berusia 30an yang disyaki terbabit dalam kes menetak pemandu peribadi kepada Anggota Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dalam kejadian 13 Januari lalu.

Katanya dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, mangsa dikatakan pergi berseorangan ke rumah suspek yang terletak di Cabang Tiga Haji Musa, Bukit Marak di sini, bagi mendapatkan suatu bayaran.

Bagaimanapun, beliau berkata berlaku pertengkaran di situ sehingga suspek yang tidak berpuas hati terus mengeluarkan sebilah parang dan menetak mangsa di bahagian lengan dan paha kanan.

Katanya, suspek yang panik kemudiannya terus melarikan diri manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini, untuk rawatan. - BERNAMA 

bom, militan Daesh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain