suria

Dua Sahabat Maut Kemalangan

BAGAN SERAI: Hajat dua sahabat menikmati hidangan makanan laut di sebuah restoran Cina di sini tidak kesampaian apabila kedua-duanya mati lemas selepas kereta dinaiki tercampak ke dalam parit berselut pagi Ahad.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.35 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Mook Beng Hooi, 19, dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan Wong Yat Mun,19, dari Kulim, Kedah. 

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak DSP Mohd Mahiri Hussin berkata kemalangan berlaku apabila kenderaan Toyota Unser yang dipandu Mook hilang kawalan semasa tiba di lokasi sebelum terbabas dan jatuh keparit. 

"Pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas ambulans, manakala penumpang iaitu Wong meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Klinik Kuala Kurau," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Sementara itu, seorang rakan mangsa yang hanya dikenali sebagai Tan, 32, berkata kedua-dua mangsa baru sahaja selesai berniaga peralatan sembahyang di Pekan Kuala Kurau sempena perayaan Tahun Baharu Cina.  

"Saya dan teman wanita menemani kedua-dua mangsa berniaga di sini dan kami menaiki dua kenderaan berbeza untuk memenuhi hajat menikmati hidangan makanan laut di sebuah restoran Cina di Bagan Seberang. 

"Apabila saya dan teman wanita sampai ke restoran itu, kedua-dua rakan tidak lagi sampai, kami berpatah balik dan terkejut mendapati kenderaan mereka terbabas ke dalam parit," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Parit Buntar di sini. 

Tan berkata beberapa penduduk yang kebetulan melalui lokasi kejadian cuba membantu mengeluarkan mangsa yang terperangkap, namun mengalami kesukaran kerana kedua-duanya tersepit. 

Kemalangan, jatuh parit

Artikel Lain