suria

Tangkapan SPRM Peringatan Kepada Penjawat Awam - PM

Najib Tun Razak.

PUTRAJAYA: Penahanan terbaharu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan peringatan kepada penjawat awam terhadap ketirisan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata isu ketirisan 'bersamaan dengan mengambil apa yang dimiliki rakyat' dan beliau turut mengingatkan mereka yang berkhidmat di dalam kerajaan supaya tidak mengambil hak rakyat.

"Apa yang dilakukan SPRM beberapa hari lepas mengingatkan kita mengenai ketirisan. Tentang merampas hak-hak rakyat.

"Jangan ambil hak rakyat, itu rakyat punya. Sebab apa, kita buat peruntukan, program dan bajet sediakan segala-galanya untuk rakyat. Kalau ada ketirisan, rakyat hampa dan hilang keyakinan," katanya dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri yang pertama untuk tahun ini di sini Isnin.

Najib mahu perkhidmatan awam memfokuskan 2017 sebagai tahun penyampaian untuk kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

"Jadikanlah tahun 2017 sebagai 'year of delivery' (tahun penyampaian), fokus kepada penyampaian perkhidmatan usaha, latihan, penambahan nilai dan segala-galanya untuk kebajikan rakyat.

"Perkhidmatan yang disediakan untuk rakyat perlu mengikut jadual, dan sekiranya ia lambat atau ada kekangan, halangan, masalah atau koordinasi, ia perlu diselesaikan dengan segera.

"Janganlah kita dalam silo masing-masing, mengatakan itu hak kita, orang lain jangan campur hak kita. Kalau kita ada sikap seperti ini, kita akan hadapi masalah birokrasi yang keterlaluan," katanya.

Perdana menteri berkata sekiranya 'mindset' (set minda) warga perkhidmatan awam memberi fokus pada penyampaian, ia akan jadikan 2017 sebagai tahun yang berjaya.


SPRM, Najib Tun Razak

Artikel Sebelum

Reman Wanita Dilanjut Tiga Hari

Artikel Berikut

Artikel Lain