suria

Pelajar Perempuan Tahun Lima Lemas Dalam Paya

PEKAN: "Saya tahu kakak dah tiada kerana setengah jam dia dalam air, tapi saya pujuk hati kata kakak masih ada sepanjang perjalanan kami  ke hospital sehinggalah doktor beritahu paru-paru kakak dah pecah," kata Nur Atikah Abdul Rahman.

Nur Atikah, 23, menemukan anak saudaranya Nur Ain Natasya Mohd Rosaidi, 11, lemas dalam paya berhampiran rumah mereka di Kampung Pulau Serai di sini, pada 5.30 petang Ahad.

Beliau berkata mangsa, pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan Peramu Jaya di sini, tidak pernah bermain di paya itu sebelum ini bagaimanapun tergerak hati untuk ke sana pada hari itu bagi mencari adiknya Ashraf Nasrullah, 8, yang sering mencari ikan di situ.

"Tak lama kemudian saya nampak abang (Ashraf Nasrullah) keluar dari bilik.

Rupa-rupanya dia tidur. 

"Tahu-tahu sahaja ada budak datang ke rumah beritahu kakak tenggelam. Saya terus ke paya untuk pastikan mereka tidak bergurau, sebelum telefon bomba dan terjun mencari kakak," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Nur Atikah, yang juga pekerja kilang, kemudiannya memaklumkan kejadian tersebut kepada ibu mangsa Nurul Hidayah Ahmad Tarmizi, 30, kini dalam pantang selepas melahirkan anak keempatnya hujung Disember lalu. 

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kuala Pahang di sini, pada 1 pagi tadi, berhampiran kubur datuknya, Abdul Rahman Dollah yang meninggal dunia pada 5 Jun lalu. 

"Arwah sangat rapat dengan akinya (Abdul Rahman) kerana dia cucu sulung.

Baru kelmarin arwah mengajak kami ke kubur kerana sudah lama tidak menjenguk aki dan dia beritahu esok (semalam) kita akan ke kubur lagi," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Anuar Hassan berkata mangsa dipercayai terjatuh ke dalam paya sedalam kira-kira empat meter dan dikejarkan ke Hospital Pekan oleh pihak bomba yang tiba di tempat kejadian. 

Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan DSP Amran Sidek mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut. - BERNAMA

Lemas

Artikel Lain