suria

Rumah Dipenuhi Lintah, Pacat, Berpantang Di Pusat Pemindahan Lebih Selamat

CARI REZEKI...Khamsa Abu Bakar menyiapkan kelengkapannya sebelum turun ke sungai untuk memasang pukat di Sungai Paka ketika ditemui di Kampung Durian Mentangau, Khamis. Khamsa, 56, seorang nelayan sungai terpaksa turun ke sungai untuk memukat walaupun berhadapan dengan arus deras air sungai akibat banjir di daerah Dungun. -fotoBERNAMA
DUNGUN: "Lebih baik berpantang di pusat pemindahan banjir daripada dikelilingi lintah dan pacat selepas dapur rumah dinaiki air."

Itu luahan Noliyati Othman, 31, yang baru melahirkan anak sulungnya, Che Wan Farhan Che Firdaus, 31 hari lalu ketika ditemui di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Durian Mentagau, di sini.

"Semasa hendak keluar dan mengambil barang di dapur pun dah penuh lintah di kaki. Masa itu saya fikir bagaimana kalau lama di rumah kerana bimbang keadaan anak yang masih kecil," katanya.

Noliyati berkata walaupun keadaan di pusat itu tidak begitu selesa untuknya, keadaan cuaca yang tidak menentu membuatkan beliau bersama ibu dan suaminya memutuskan untuk berpindah sejak Rabu bagi mengelak keadaan lebih teruk seperti tahun-tahun sebelum ini.

Rumahnya yang sentiasa dilanda banjir saban tahun menjadikan mereka sekeluarga sentiasa berhati-hati dan melakukan persediaan rapi tanpa desakan pihak berkuasa untuk berpindah.

Noliyati merupakan antara 178 orang daripada 53 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan itu.

Sementara itu, di kawasan berhampiran pusat pemindahan tersebut, dua sahabat baik mengambil kesempatan menangkap ikan sungai dengan menyusuri air banjir hingga ke Sungai Paka.

"Hok bahaya tu orang dok biasa, kita ni hari-hari doh jadi tak dok hal doh (Ia bahaya bagi yang tak pernah laluinya tetapi kalau dah biasa ia bukan satu masalah)," kata Khamsa Abu Bakar, 56 yang mencari rezeki sebagai nelayan sungai.

Beliau bersama rakannya Fauzi Mamat, 53, tidak menjadikan musim tengkujuh sebagai halangan untuk mencari rezeki dan bagi mereka, tiada pilihan lain selain meredah sungai.

Bagaimanapun, katanya, sebelum ke sungai beliau akan memastikan keadaan selamat dan tidak membahayakan terutama kepada Fauzi yang menggunakan kaki palsu selepas mengalami kemalangan beberapa tahun lalu.

"Kalu nok (Kalau nak) kira bahaya, semua perkara ada risiko tapi kalau tidak lakukan semua ini, macam mana hendak terus menyara keluarga apa lagi hanya perkara ini yang saya buat hari-hari," katanya dalam loghat Terengganu.

Ketika ditemui Bernama, beliau sedang bersiap untuk ke sungai selama dua hari satu malam dengan membawa makanan dan ubatan melalui limpahan air banjir di depan rumahnya sendiri menuju ke Sungai Paka.

Katanya sepanjang musim tengkujuh ini, beliau mampu memperoleh pendapatan sehari sekitar RM200 dan akan dikongsi bersama Fauzi manakala pada musim biasa hanya mencecah RM700 bagi tempoh sebulan.

Menurut Khamsa, ketika banjir mereka hanya boleh menggunakan pukat untuk menangkap ikan berbanding keadaan biasa dengan menjala.

Antara ikan yang diperoleh adalah lampam, tebarau dan baung.
mangsa banjir, pacat, lintah, pasca banjir

Artikel Berikut

Artikel Lain